Sunday, 12 April 2015

Novel Bersiri : Indahnya Takdir Ini 2


NOVEL ISLAMI
NOR AISHAH BT NORRIFIN

BAB 2: Abangku Sayang


"Kesian mama terpaksa jaga rumah ini seorang diri," bisik hati Amira tatkala merenung segenap ruang dalam rumah yang begitu luas tambahan lagi, papa pula selalu ada mesyuarat. Mama sememangnya seorang wanita yang tabah yang tahu tanggungjawab dan amanah yang terpikul.
            " Assalamualaikum …"
            Kedengaran suara orang memberi salam dari luar. Amira yang berjilbab dari tadi terus menuju ke pintu rumah. Manakala, mama terus menuju ke biliknya untuk mendapatkan tudung. Amira menyambut kedatangan keluarga sebelah mama. Ada yang datang dari Terengganu, Kedah dan Perak. Amira tahu perjalanan yang mereka tempuh itu bukan pendek. Jadi, layanan yang terbaik perlu diberikan kepada mereka.

            “Apa khabar, Mira? Wah, anak dara ni makin cantik, kurus pula tu. Hang ni tak makan apa-apa ka kat maktab tu. Amboi, kalau macam ni, bolehlah Mak Teh hantar Khairul  pi sana. Biar kempis sikit perut dia,” kata Mak Teh. Amira sangat memahami loghat utara. Mana tidaknya, dia sudah menetap di sana selama hampir 6 tahun.
            “Mana ada Mak Teh. Biasalah, kalau cari ilmu. Mana nak fikirkan makan. Makan untuk isi perut saja. Tak adanya nak fikir makan yang sedap-sedap,” kata Amira bertemankan senyuman di bibir.
            “Baguihlah kalau macam tu. Lepas ni, nak sambung pi mana?” tanya Mak Usu pula.
            “Entahlah, Mak Usu... Lagi sebulan Mira ambil STAM. Lepas ni, tamatlah pengajian di sana. Kalau dapat bagus nak sambung ke Mesir ataupun Madinah. Kalau dapat UIA pun bagus juga,” kataku.
            “Seronok betui, Mak Long dengar cerita hang ni. Tak pa, biar susah dulu, senang kemudian. Lepas tu, baru boleh buat kenduri,” kata Mak Long lalu tertawa.
            " Kenduri? Kenduri tu hari lusa  lah Mak Long.." Amira kehairanan.
            " Maksud Mak Long kenduri hang la…"
            Amira terpana mendengarkannya. Mukanya terasa panas menahan malu. Ahli keluarga yang lain turut ketawa. Kepalanya hanya menunduk. Lidah kelu untuk berkata-kata. Amira tidak faham mengapa masing-masing gemar berbicara soal perkahwinannya yang masih belum dalam perancangannya sendiri. Mereka bagaikan menganggap bahawa perkahwinan itu sebagai perkara biasa. Pada Amira, tidak!!! Perkahwinan itu merupakan medan yang akan meletakkan dirinya sebagai insan bergelar isteri yang terpikul amanah di bahunya. Amanah ini bukan perkara yang boleh dipandang enteng. Amira rasakan bahawa dirinya masih mentah untuk memikul amanah tersebut. Tuhan itukan lebih mengetahui.
            Amira cuba untuk senyum agar perasaan malunya tadi tidak begitu menyerlah. Dia menoleh ke sisi. Kelihatan mama sedang asyik berborak dengan Mak Lang. Tiba-tiba, mama bersuara kepadanya.
            “Mira pergi telefon Abang Hafiz, suruh balik cepat. Lepas tu, tanya bila pasukan tilawah tu nak sampai. Ni dah nak masuk maghrib ni,” kata mama.
            Amira mengangguk lalu menuju ke penjuru ruang tamu untuk mencapai telefon rumah. Tidak semena-mena, kakinya tersadung pada objek di lantai yang tajam.
            “Allah !!!”  
            Amira terduduk tanpa bicara. Darah merah mula mengalir di tapak kakinya. Dengan perlahan, Amira menarik jarum yang tertusuk di tapak kakinya itu.
            “ Aduuuhhh…” keluhnya. Lama-kelamaan, darah tersebut mengering dan berhenti daripada terus mengalir. Amira cuba untuk bangun dengan berhati-hati.
Cuaca berangin yang bertiup di dalam rumah menyebabkan tudung labuhnya tersingkap lalu menutup pandangannya. Dengan segera, Amira membetulkan tudungnya.
         “ Huh..” getus hatinya kerana lega tiada siapa yang memerhatinya dalam keadaan demikian.
           Pandangan Amira kemudian tertumpu ke luar rumah. Kelihatan Abang Hafiz sudah balik bersama rakan-rakannya mungkin. Amira berasa ganjil. Secara tidak semena-mena, muncul satu perasaan aneh dalam dirinya. Perasaan yang sukar diterjemahkan melalui kata-kata. Akhirnya, perasaan itupun terungakai apabila dia mendapati, antara rakan-rakan yang bersama dengan Abang Hafiz di luar rumah itu adalah Furqan. Amira cuba untuk keluar daripada belenggu syaitan yang sentiasa membisik.  
            “Kau boleh lakukan, Mira,” katanya sendiri untuk memberi kekuatan kepada dirinya.
            Amira terus mendapatkan mama. Pergerakannya sedikit terbatas dek tapak kakinya yang terluka.
            “Assalamualaikum,” ucap Abang Hafiz sambil mengangkat tangan.
            “Waalaikumusalam,“ jawab mama. Amira hanya menjawab di dalam hati. Dia setia berdiri di samping mama.
            Melihat Abang Hafiz mula memasuki rumah, Amira menghampiri Abang Hafiz dengan terhenjut-henjut.  Sementara itu, rakan-rakan Abang Hafiz menunggu di luar rumah. Amira bersalam dengan Abang Hafiz.
            “Macam mana, pelajaran, okey? Nanti bila dapat keputusan yang bagus, abang bagi hadiah,” kata Abang Hafiz yang pandai mengambil hati. Tangannya perlahan mengusap kepala Amira. Kata-kata itu sering keluar daripada mulut Abang Hafiz. Sehinggakan Amira cukup muak dengan ungkapan itu. Ini kerana, hadiah yang sering diungkapkan hanyalah sekadar hangat-hangat tahi ayam .
            “Abang, peperiksaan yang lepas punya hadiah pun tak bagi lagi. Sudahlah...” balas Amira kepada Abang Hafiz. Tersengeh Abang Hafiz mendengarkan kata-kata adik perempuan kesayangannya itu.
            Mama kemudian mencelah.
            “ Hafiz, mereka tu kawan kamu ke? Kenapa tak jemput masuk?”
            “Ha-ah”.
            “Perkenalkan mama,  inilah pasukan tilawah. Mereka telefon tadi bila mereka sudah tiba di KL Sentral. Hafiz pun kebetulan dah nak balik, terus ambil diorang. Setakat 5 orang, Wellfire Hafiz tu boleh tampung,” kata Abang Hafiz memalingkan wajahnya ke arah mereka.
            “Ooh...” mama mengangguk.
            “Ini Faiz, graduan Universiti Islam Madinah. Ini Amir, seorang al-hafiz dan bakal melanjutkan pengajian ke Universiti Sains Islam Malaysia. Ini pula Muhaimin, yang paling muda, baru berusia 8 tahun. Tapi suaranya, Subhana-Allah. Ini Muhammad, dia ni adik kepada Faiz dan masih belajar di sekolah menengah agama. Ini pula istimewa sikit, nama dia Furqan. Mira mesti kenal. Dia ni pelajar semaktab dengan Mira. Betul tak Mira?” jelas Abang Hafiz.
            Amira mengangguk.

            Abang Hafiz dan mama melayan tetamu itu di ruang tamu. Sementara Amira terus ke dapur untuk membuat satu jag air untuk pasukan tilawah.Jarak antara dapur dan ruang tamu tidaklah begitu jauh. Sehinggakan, Amira dapat mendengar perbualan antara mama dan pasukan tilawah. Tatkala mama menyebut nama Furqan, Amira tertarik untuk mengambil tahu perbualan mereka.
            “ Jadi, Furqan ni kenallah dengan Amira?” tanya mama membuka bicara.
            “Betul datin tapi kami jarang berbual. Setakat beri salam begitu sahajalah,” jawab Furqan.
            “ Eh, tak perlu nak panggil datin. Panggil saja mak cik. Tiada masalah…” kata mama.
            Suara Furqan begitu sopan apabila berbicara apatahlagi, berbicara dengan orang yang jauh lebih tua. Itu adalah antara faktor yang menggamit hati Amira dari dulu lagi.
            “ Astaghfirullah. Mira, ingat Allah. Ingat, kesopanan berbicara itu biasa sebagai simbol budi bahasa terhadap orang yang lebih tua,” tegas diri Amira sendiri supaya tidak terhasut dek bisikan syaitan.
            Setelah selesai membuat air, Amira menyerahkan jag air tersebut kepada Bik Shima. Dia tidak mampu untuk menonjolkan diri di hadapan Furqan lagi. Jadi, dia meminta bantuan Bik Shima untuk membawakan jag air tersebut ke ruang tamu. Setelah itu, Amira terus menuju ke tingkat atas. Dia ingin melihat keadaan saudara-maranya di bilik mereka.
            “Mak Teh, dalam almari ada telekung. Kalau nak pakai, ambillah. Lepas tu, jangan lupa pula. Tandas tu, kongsi dua bilik. Nanti kalau nak guna, kunci pintu satu lagi. Nanti, jadi drama pula dalam rumah ni,” kata Amira apabila melihat Mak Teh sedang menuju ke tandas, ambil wuduk agaknya.
            “Terima kasih, nanti kalau ada apa-apa Mak Teh panggil ya,” kata Mak Teh dengan senyuman di wajah.

Malam itu, mereka mendirikan Solat Maghrib secara berjemaah di ruang tamu bersama dengan pasukan tilawah yang diimamkan oleh Faiz. Usai Solat Maghrib, masing-masing melakukan urusan masing-masing. Amira pula berminat untuk berada di ruang tamu sambil menonton televisyen memandangkan segala persiapan sudah tersedia. Tiba-tiba, Amira disapa oleh Abang Hafiz. Tanpa banyak bicara, Abang Hafiz terus duduk di samping Amira.
            “Mira. abang nak tanya dengan Mira boleh?” tanya Abang Hafiz.
            “Apa abang? Selagi Mira boleh jawab, Mira jawablah,”
            “Umur Mira sudah menjangkau 18 tahun. Lepas ni, Mira nak sambung pelajaran. Hey, kalau nak sambung belajar bukannya setahun, dua adik. Paling kurang sekalipun, mesti 4 tahun. Paling lama 10-11 tahun. Mira tak nak kahwin dulu ke? Abang tengok Furqan tu, sesuai sangat dengan Mira. Dari gayanya, cara berkomunikasi dan adab yang ditonjolkan sangat sesuai untuk Mira. Mira, nanti bila dah tua, susah nak cari jodoh? Tak ke merana dapat gelaran andartu ” kata Abang Hafiz.
            Amira terkejut apabila dikemukan soalan sedemikian. Dia cuba untuk mencari jawapan bagi soalan abangnya itu.
            “Abang, jodoh itu kan takdir Allah SWT. Hadis riwayat Anas bin Malik ra,
Sesungguhnya Allah Taala mengutus seorang malaikat di dalam rahim. Malaikat itu berkata: Ya Tuhan! Masih berupa air mani. Ya Tuhan! Sudah menjadi segumpal darah. Ya Tuhan! Sudah menjadi segumpal daging. Manakala Allah sudah memutuskan untuk menciptakannya menjadi manusia, maka malaikat akan berkata: Ya Tuhan! Diciptakan sebagai lelaki ataukah perempuan? Sengsara ataukah bahagia? Bagaimanakah rezekinya? Dan bagaimanakah ajalnya? Semua itu sudah ditentukan dalam perut ibunya.’ (Sahih Muslim No.4785).
 Abang jangan risau. Kalau dinamakan jodoh takkan ke mana, walaupun berlari serata dunia. Jodoh itu pasti ditemukan Allah suatu hari nanti. Sekiranya masa sudah sampai untuk Mira berkahwin, pasti itu adalah masa yang tepat untuk Mira mendirikan rumah tangga. Abang boleh cakap Furqan, tapi siapa tahu, Allah tentukan yang lain. Allah itu Maha Mengetahui. Dia tahu apa yang terbaik untuk hambaNya kerana dia yang menciptakan kita” ujar Amira dengan lembut tutur kata.
            “ Pandainya adik abang ni beracakap. Mira, abang cuma fikirkan Mira je. Lepas ni, abang belum tentu ada masa untuk Mira. Sebab itulah, sebelum abang bergelar suami orang, abang nak bagi nasihat untuk adik abang. Abang takut Mira tersalah pilih je,” ungkap Abang Hafiz.  Kata-katanya menenangkan hati Amira. Dia tahu setiap kata-kata abangnya itu sungguh istimewa untuknya. Kata-kata itulah yang pernah menemukan mutiara keikhlasan yang Amira cari selama ini untuk menuntut ilmu agama. Dia bagaikan putera titipan Allah untuk Amira. Namun, tak lama lagi putera ini akan menjadi raja kepada seorang permaisuri yang sangat bertuah.
            “Abang… jangan risaukan Mira. Sekarang ni, abang fokuskan urusan perkahwinan abang. Esok pagi akad nikah. Fikirkan tanggungjawab yang akan abang galas selepas ini. Mira dalam carta tanggungjawab abang akan turun sedikit lepas ni. Ingat, mama, papa dan isteri, itu yang perlu diutamakan. Mira dah besar panjang. In Sha Allah, Mira dapat buat keputusan dengan baik. Abang doakan Mira. In Sha Allah, Allah sentiasa bersama dengan Mira,” Amira lalu menjatuhkan kepalanya ke atas bahu Abang Hafiz.
            “ Abang sentiasa doakan yang terbaik untuk Mira dan abang percaya Mira dapat lakukannya. Kuatkan iman di dada. Jangan karam di lautan kemungkaran yang akan menjauhkan Mira daripada landasan kebenaran,” ujar Abang Hafiz sambil mengusap-usap kepala adiknya itu.
            Amira membiarkan kelepek tudungnya menjadi tidak betul dek usapan tangan abang di kepala kerana ketenangan yang dia rasakan saat bersama Abang Hafiz itu sangat lama dirinduinya. Bagi Amira, susah sebenarnya untuk mencari kasih sayang seorang abang yang jujur seperti Abang Hafiz. Dia sangat menghargai kehadiran Abang Hafiz sebagai abangnya.
            “Lepas ni, abang tak boleh dah nak bermanja dengan Mira atau nak bergurau dengan Mira. Selepas ni, giliran Kak Lisa pula untuk dimanjakan. Cemburulah Mira dengan Kak Lisa lepas ni,” kata Amira dengan nada yang perlahan .
            “Sebab tu, abang suruh kahwin. Ha, bolehlah bermanja dengan suami,” usik Abang Hafiz.
            “Abang! Abang! Tak habis-habis dengan kahwin. Tak apalah, malas pula nak borak dengan abang?” balas Amira dengan nada marah manja.
            " Gurau pun nak marah…"
            Amira terus bergerak ke biliknya di tingkat atas. Biliknya ialah bilik pertama sebaik sahaja menaiki tangga, kemudian ada dua bilik selepas biliknya. Kemudian di bahagian yang lain di tingkat bawah tanah ada satu bilik lagi dan dua bilik di tingkat satu.  Memang cukup luas untuk penginapan saudara-mara.
            Semasa Amira melalui bilik di sebelahnya, dia terdengar suara lelaki berbicara.
            ‘Astaghfirullah, pasukan tilawah menginap di bilik sebelah kamarku rupanya. Aku perlu lebih berhati-hati apabila bersuara di dalam bilikku nanti,’ bisik hati Amira.
            Eikkkk... Tiba-tiba pintu itu terbuka. Furqan dan Faiz rupanya.
            “Oh, Mira kan? Ni nak tanya sikit boleh? Di mana kami boleh jumpa dengan Datuk Azman. Kami nak berbual mengenai hari esok sedikit?” tanya Faiz. Furqan hanya terdiam di samping Faiz sambil merenung sekitar rumah.
            “Oh, papa. Sekejap ya. Faiz dengan Furqan boleh tunggu dekat ruang tamu. Biar saya panggilkan papa. Ada dalam bilik agaknya,” kata Amira.
            “Baiklah,” kata Faiz lalu berganjak dari situ.
            Amira terus berjalan menuju ke kamar mama dan papa yang terletak di tingkat satu. Apabila ingin memulas tombol pintu, Amira terdengar bualan mama dan papa. Niatnya yang tadi hendak memanggil papa tertangguh seketika kerana tidak mahu mengganggu perbualan mama dan papa. Baru sahaja hendak menggerakkan langkah pertama beredar dari situ, Amira terdengar suara mama yang bercakap tentang Furqan. Langkahnya terhenti serta-merta.
            “Papa, mama tengok bagus betul budak Furqan tu. Bahasanya, pergaulannya dan adabnya. Memang sempurna. Sangat sesuai untuk anak kita, Mira. Lagipun... “ kata mama menarik perhatianku.
            “Mama, semua orang tak sempurna. Mana mama tahu semua tu. Baru sehari jumpa, dah pandai menilai orang. Papa tak jumpa pun dengan budak-budak tu lagi. Ingat, nak jumpalah ni. Nanti lewat malam, ganggu mereka pula,” kata papa.
            “Pa, maksud mama. Kita satukan mereka berdua tu lah papa. Mama tengok Mira tu tak kisah sangat dan nampaknya macam suka pada si Furqan tu,” cerita mama.
            “Mama...” kata papa. Namun, Amira tidak dapat mendengar sehingga ke penghabisan ayat dek suara lain yang mencuit.
            “Tak baik, dengar perbualan orang…” suara itu mengejutkan Amira. Dirinya kaku seketika kerana dia sangat mengenali suara itu. Lalu, dengan perlahan Amira menoleh wajahnya ke arah pemilik suara tersebut. Memang tidak dinafikan, pemilik suara itu ialah Furqan. Secara tiba-tiba, pipinya terasa hangat dan menebal. Amira terdiam tanpa sebarang bicara. Jarak di antara bilik papa dan ruang tamu memang tidak jauh. Perbualan antara mama dan papa terus menyepi dari pendengaran Amira.
            Furqan berbicara lagi.
“ Kenapa lambat sangat? Datuk Azman ada di dalamkan? Kenapa tak panggil sahaja? Sekarang sudah jam 8.15 dan sekejap lagi, masuk pula waktu Isyak. Kami nak bergerak ke masjid.”
            Panas saja muka ini kerana rasa malu yang mula menebal dalam diri.
            “Aduuh, mana nak letak muka ni. Malunya,” Amira bermonolog sendiri.
            “Ehh, aaa... Ada. Sekejap ya. Hmm, saya panggilkan. Minta maaf sangat sebab tunggu lama,” Amira gagal mengatur kata-katanya dengan baik dek masih terkejut dengan sapaan Furqan. Apabila melihat Furqan beredar dari situ sambil menggeleng, nafas lega dihembusnya dengan puas. Amira lantas mengetuk pintu bilik mama dan papa.
            Tok tok tok.. Pintu diketuk dengan iringan salam,
            “Assalamualaikum mama, papa. Boleh Mira masuk?”
            Sebaik sahaja dibenarkan masuk, Amira terus memberitahu papa tentang Faiz dan Furqan. Selepas itu, Amira terus menuju ke kamar untuk menunaikan solat Isyak dan membaca al-Quran untuk menguatkan lagi hafazan.

**********

Kelmarin, Abang Hafiz selesai diijab kabulkan dengan Kak Lisa. Pasukan tilawah telah melakukan demonstrasi bacaan ayat al-Quran dengan begitu baik.
            “Abang, apa rasanya dah jadi suami? Seronok?” Amira sengaja menyakat Abang.
            “Dari tadi tak habis-habis nak menyakat abang. Jangan main-main dengan abang. Nanti, masa Mira kahwin, baru Mira tahu langit tinggi atau rendah,” kata Abang Hafiz sambil meletakkan lengannya di atas bahu Amira.
            “Ceh, Mira melawak je. Tapi abang, Mira serius sekarang ni. Apa sebenarnya perasaan apabila sudah mendapat tanggungjawab sebagai seorang ketua keluarga?” ujar Amira sambil menatap mata Abang Hafiz.
            “Mira, nak mendirikan masjid memang mudah tapi nak pertahankan tiang-tiang yang kita dirikan itu yang sukar. Tanggungjawab sebagai ketua keluarga tak sama macam tanggungjawab menjaga kambing. Tanggungjawab ini besar sehingga melibatkan syurga dan neraka. Pada mulanya abang pun takut, sekiranya pernikahan ini akan hancur begitu sahaja,” terang Abang Hafiz kepadaku dengan teratur.
            “Tapi, abang persiapkan diri dengan sebaik mungkin. Abang cari ilmu banyak-banyak agar abang dapat memandu keluarga abang ke jalan syurga. Jadi, bila abang dah sedia, timbullah keyakinan untuk abang mendirikan rumah tangga dan dari situ datangnya keberanian untuk abang memiliki seorang isteri,” sambungnya lagi.
            “Bagusnya abang. Untung Kak Lisa dapat suami macam Abang Hafiz.”
            Termenung Amira memikirkan Abang Hafiz dan Kak Lisa.
            “Oitt. Menung apa tu? Abang tak habis cerita lagi ni, dik oi,” kejut Abang Hafiz.
            “Astaghfirullah hal azim.”
            “Abang,  Mira bukannya termenung. Mira fikirkan apa yang abang katakan. Kak Lisa patut bersyukur sebab berpunyakan Abang Hafiz yang mithali. Mira harap, bakal suami Mira nanti hampir sama dengan abang,” kata Amira kepada Abang Hafiz.
            “Aik, hampir sama? Kenapa tak sama saja?” kata Abang Hafiz sambil merenung tajam ke mata adiknya.
            “Mana boleh sama. Abang tak pandai memasak. Suami Mira nanti takkanlah tak pandai masak. Nanti kalau Mira berpantang, siapa nak masak?” kata Amira sambil menolak muka Abang Hafiz yang dari tadi merenung tajam ke arahnya. Abang Hafiz bagaikan memendam geram yang mendalam terhadap adiknya yang bijak berceloteh itu.
            “Mira ni, dari tadi kata fasal abang. Mira ni, pandai sangat ke masak? Dah bersedia nak jadi bini orang. Hei, kalau nak yang pandai memasak, tu orang dekat atas tu pandai. Kelmarin, dia masak ayam masak merah madu untuk keluarga kita. Mira keluar dengan Kak Lisa kelmarin. Rugi sangat tak dapat rasa masakan dia,” kata Abang Hafiz.                        
Tangannya menunjuk ke arah tingkat atas. Amira tahu siapa yang dimaksudkannya, Furqan. Ya, pasukan tilawah masih di rumah itu untuk bacaan ayat al-Quran pada majlis perkahwinan esok.
            “Malaslah, cakap dengan abang. Tak habis-habis dengan Furqan,” Amira mencebik.
            “Abang tak kata Furqan. Mira yang cakap,” kata Abang Hafiz dengan memek muka yang menyakitkan hati.
            “Abang!!!” jeritku. Amira malu habis.
            ‘Macam manalah aku boleh meneka Furqan begitu je. Aduuhh, Mira. sedarkan diri,’ bisik hatinya sendiri sambil menekan bibir sekuat hati.
            “Dahlah, abang. Esok abang nak bersandingkan? Pergilah tengok apa yang patut. Kalau dah takde apa-apa nak dicakapkan, Mira naik atas dulu. Lupa pula, Mira belum solat asar,”
            “Ya Allah, budak bertuah betul. Dia yang ajak bersembang, dia pula yang marah kita..,” balas Abang Hafiz sambil tergelak sinis.
            Amira tidak mengendahkan Abang Hafiz yang dari tadi tertawa sinis. Malu yang dia rasa masih belum hilang.


BERSAMBUNG...
* Maafkan salah dan silap yang terdapat dalam karya ini. 
Buang yang keruh, ambil yang jernih. In Shaa Allah.

Assalamualaikum

Saturday, 11 April 2015

Novel Bersiri : Indahnya Takdir Ini 1

NOVEL ISLAMI =D
NOR AISHAH BT NORRIFIN

BAB 1: Tautan Hati

Pemandangan yang cukup menenangkan mata itu dinikmati oleh seorang gadis melalui jendela kamar. Bukit bukau yang sentiasa teguh menjadi pasak bumi. Langit kebiruan tergantung elok melitupi alam semesta. Awan yang terus berarak di pentas langit mulai menampakkan cahaya gemilang yang terlindung di baliknya. Yang pasti setiap kejadian itu tertakluk di bawah izinNya. Tersenyum insan bergelar hawa itu menyaksikan kuasa Pencipta yang sungguh jelas terpampang di kaca mata manusia. Teringat dirinya akan madah bicara yang cukup indah yang didengarinya semasa mengikuti halaqoh.
Allah tidak pernah menjanjikan bahawa langit itu selalu biru,
Dan mentari selalu bersinar.
Tapi ketahuilah bahawa Allah selalu memberi pelangi di setiap badai,
Senyuman di setiap titisan air mata,
Pahala di setiap ujian
Dan jawapan di setiap doa.....
Subhanallah, begitu tertib dan cantik takdir yang diberikan oleh Allah buat setiap hambaNYA. Tabah itu tidak dicapai hanya dengan kata-kata yang disulam oleh al-Quran dan hadis. Tabah itu ditempa oleh keperitan mujahadah, pengorbanan dan sikap yang tiada batasnya.

Hari demi hari berlalu. Gadis itu tetap setia berada di negeri semenanjung utara untuk menimba ilmu dunia dan akhirat. Cita- citanya yang begitu tinggi dalam perjuangan mujahadahnya sebagai hamba Allah itu menjadi pendorong baginya untuk terus tabah meniti titian menuju syurga Allah yang pastinya bertalu-talu duri menanti. Di sini, Maktab Pendidikan al-Quran al-Ghazali di Kedah, Taqiyyah Amira binti Azman akan menghadapi peperiksaan Sijil Tinggi Agama Malaysia. Sudah hampir sedekad insan bernama Amira ini menggenggam amanah sebagai Hafizah Al-Quran.

Dalam naskhah hasil buah fikiran Ustazah Fatimah Syarha, Tautan Hati telah tertulis baris-baris madah yang cukup indah.
Bertemu cinta dalam halaqoh,
Hidup lebih indah terarah,
Menyulam tautan hati kerana Allah,
Terpaterilah ikatan akidah.

Keindahan itu hanya dapat dirasai oleh mereka yang memahami setiap ungkapan yang terzahir dan menjiwai dunia halaqah. Itulah perasaan Amira setelah meneliti bait ungkapan tersebut. Begitu gamit hatinya terhadap bait indah daripada penulis yang terkenal dengan karya Cinta High Class itu. Dirinya sendiri sering mengikuti kumpulan halaqoh di surau. gadis berhati al-Quran ini sudah begitu tersimpul pada kumpulan halaqoh sebegini. Dari Abu Hurairah ra. ia berkata : Rasulullah saw. bersabda :
"Apabila berkumpul suatu kaum dalam rumah-rumah Allah (masjid) untuk membaca Al Qur'an dan mempelajarinya, maka ketenangan pasti akan turun kepada mereka, rahmat Allah melingkupi mereka, malaikat-malaikat mengelilingi mereka dan Allah menyebut-nyebut mereka di kalangan makhluk yang ada didekatNya (para malaikat)." (HR  Muslim)
             
            “ Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Alhamdulillah, antunna sekalian sekali lagi dipilih oleh Allah SWT untuk menghadiri taman syurga yang sangat indah ini. Ustazah pasti, antunna masih ingat Nabi Muhammad SAW pernah bersabda:
Apabila kamu melalui (bertemu) dengan taman-taman syurga (di atas muka bumi ini), maka hendaklah kamu berhenti untuk menikmati (hasilnya).
Lalu Sahabat pun bertanya: Apakah dia taman-taman Syurga tersebut? Rasulullah berkata: Majlis-majlis ilmu.”
(Hadis riwayat at-Tirmizi).
Alhamdulillah, nampaknya kita ada ahli baru hari ini. Jadi, eloklah kita mulakan sesi taaruf untuk usrah kita kali ini,” Ustazah Syiqqin selaku naqibah membuka bicara bulatan halaqoh. Masing-masing yang bersimpuh dalam bulatan halaqoh itu mengukir senyuman tatkala mendengarkan hadis junjungan mulia SAW yang dibacakan oleh Ustazah Syiqqin.
Seramai 13 gadis yang berada di situ bersedia untuk memperkenalkan diri mereka.  Apabila berada dalam halaqoh, lutut bertemu lutut, mata bertentang mata. Hati mereka seakan-akan terikat dengan tali ukhuwah. Berada dalam halaqoh menjadikan setiap insan yang berada dalamnya bagaikan satu keluarga atau dikenali sebagai usrah. Mereka yang terdiri daripada pelbagai lapisan umur mengindahkan lagi suasana kekeluargaan dalam bulatan halaqoh.
“ Alhamdulillah... Jadi, hari ini kita akan tadabbur Surah An- Nur ayat 11. Setiap orang baca 2 ayat. Ustazah akan mulakan. Yang uzur tolong baca tafsir. Lepas ni, kita akan bincang makna di sebalik ayat al-Quran yang akan kita tadarus bersama,”
Tafseer Al-Quran memang sudah tersedia bersama mereka dengan buku catatan. Dengan segera, Kalamullah itu dibuka ke halaman 351 yang memaparkan Kalam Allah yang cukup indah.
Adapun mereka yang uzur teliti mendengar alunan ayat suci Al-Furqan itu sambil menghayati bait-bait tafsir yang tertulis di sisi halaman tersebut.
“ Sekarang, ustazah nak Raihanah, tolong bacakan tafsir Surah An-Nur ayat 26,”  ujar Ustazah sebaik kesemua muslimat selesai membaca ayat masing-masing. Raihanah yang uzur, sudah meneliti makna ayat tersebut.
Perempuan yang keji untuk lelaki yang keji dan lelaki yang keji untuk perempuan yang keji pula. Sedangkan perempuan yang baik untuk lelaki yang baik. Mereka itu bersih daripada apa yang dituduhkan orang. Mereka memperoleh ampunan dan rezeki yang mulia ( syurga ).” Raihanah membaca dengan teliti tafsir pada halaman 352 itu.
Jiwa-jiwa muslimah yang berada di situ begitu tertarik dengan makna daripada dalil tersebut. Maknanya cukup indah  sehinggakan terukir senyuman pada wajah mereka begitu juga Ustazah Syiqqin.
“ Jadi, bagaimana perasaan antunna apabila Raihanah membacakan tafseer tersebut?” ujar Ustazah Syiqqin. Mereka melontarkan senyuman antara satu sama lain. Amira mengangkat tangan tanda ingin melontarkan pandangannya. Itulah tradisi halaqoh. Perbincangan dua hala inilah yang menjadikan halaqoh lebih berkesan.
“Pada pandangan ana sendiri yang masih dangkal ini, Allah telah mengikat janji pada ayat tersebut.  Allah kata, perempuan yang baik untuk lelaki yang baik. Begitu juga sebaliknya. Jadi, sekiranya kita yakin dengan janji Allah, kita tidak perlu risau tentang jodoh. Allah itu sudah mengatur segala-galanya sebelum roh ditiup ke jasad kita lagi. Jadi, teruskan berdoa kepada Allah. Pada masa yang sama kita perbaiki diri. In Sya Allah, percayalah si dia juga turut memperbaiki dirinya untuk memiliki kita,” ujar Amira dengan buah fikiran yang cukup menggamit ahli halaqoh yang lain.
Tidak lama selepas itu, Wardah yang merupakan pelajar Tingkatan 3 pula mengangkat tangan lalu bersuara.
“ Ana sangat setuju dengan pendapat ukhti Amira. Sebab itulah, bercouple sebelum nikah ini dianggap sebagai tindakan orang yang bodoh. Mereka seakan-akan tiada kitab panduanKenapa? Sebab kebanyakan orang yang bercouple ni bertindak demikian kerana memiliki satu ideologi. Iaitu, takut sekiranya jodoh tidak menyapa apabila usia menjangkau dewasa. Mereka inilah, kelompok yang tidak yakin dengan janji Allah. Jika kita yakin, Islam adalah penyelesaian kepada setiap permasalahan, kita tidak akan ragu-ragu untuk meyakini apa yang telah digariskan dalam Al-Quran dan Hadis. Wallahhu a’lam,” sekali lagi ahli halaqoh digamit oleh lontaran fikrah gadis berusia 15 tahun itu.
“ Alhamdulillah, bernas belaka pandangan yang terpendam di lubuk fikiran antunna sekalian. Ustazah sendiri bersutuju dengan pendapat Amira dan Wardah. Inilah konsep yang perlu kita gunakan dalam kehidupan. Al-Quran dan Sunah telah menggariskan panduan yang cukup cantik untuk kita. Seterusnya, pilihan di tangan kita sama ada ingin mengikutinya atau memandang secara membuta tuli semata-mata,” jelas Ustazah Syiqqin.
“ Ustazah, macam mana kita nak elakkan diri kita dari budaya couple ni? Sebab ana rasa, budaya ni seakan-akan telah menjadi kebiasaan kepada remaja masa kini. Sedangkan, mereka tidak sedar bahawa perbuatan tersebut dapat mengundang kemurkaan Allah SWT,” ‘Atiqah melontarkan soalan kepada Ustazah Syiqqin.
“ Cantik soalan itu, ‘Atiqah. Antunna sekalian. Nabi Muhammad SAW pernah mengatakan bahawa Islam ini datang dalam keadaan yang asing dan kembali kepada asing. Maka berbahagialah menjadi orang asing. Rasulullah SAW sendiri dah terangkan kepada kita situasi di akhir zaman ni. Antunna sekalian ini dikira sebagai orang asing. Kenapa? Sebab, tidak ramai umat Islam hari ini yang mengamalkan budaya Islam. Tak payah tengok budaya Islam yang berat-berat, cukuplah menghadir majlis ilmu. Berapa sangatlah yang hadir menghadiri majlis ilmu dengan hati yang ikhlas. Ajaran Islam seolah-olah dipandang sebagai bahan tontonan semata-mata, bukan lagi ikutan. Jadi, kalau kita lihat kebiasaan remaja masa kini membudayakan couple secara haram. Maka, antunna sekalian berpalinglah dari perbuatan tersebut sekalipun, antunna dipandang ketinggalan zaman. Kerana ingatlah, orang yang asing itu sangat beruntung.
Gantikan cinta manusia itu kepada cinta yang sebenar iaitu kecintaan kepada Pemilik Cinta. Carilah halaqah atau majlis ilmu macam antunna hadir saat ini. Majlis begini akan mengingatkan kita kepada Allah. Selain itu, biasakan diri melaksanakan amalan-amalan sunat yang dapat mendekatkan diri kita dengan Allah. In Sya Allah,” jawab Ustazah Syiqqin.
                                
Sesi halaqoh tersebut sering diadakan pada waktu pagi, seusai waktu Syuruk. Sesekali, halaqoh akan diadakan pada waktu petang dan ada kalanya, seusai Solat Isyak. Segala-galanya bergantung pada kesesuaian masa pelajar di maktab tersebut. Mereka yang sudah terbiasa dengan halaqoh pasti ternanti-nanti saat diadakan halaqoh. Kerinduan mereka kepada ahli usrah serta pengisian ilmunya cukup mendalam.

2 jam bersama ahli usrah akhirnya majlis bersurai. Jam sudah menunjukkan 10.30 pagi. Amira lantas menuju ke bilik wudhuk untuk memperbaharui wudhuknya. Dia tidak mahu melepaskan waktu yang indah itu untuk sujud kepada Allah dalam Solat Sunat Dhuha. Itu adalah antara amalan yang dijaga oleh Amira sejak di Sekolah Tahfiz Sains semasa 7 tahun lagi.
            Belum sempat takbir diangkat, Amira terdengar samar-samar suara jejaka yang sedang berbicara.
            “Niatnya, sahaja aku tunaikan solat sunat dhuha dua rakaat makmum, mengikut imam tunai kerana Allah Taala. Semasa rakaat pertama selepas baca al-Fatihah, baca surah al-Kafirun dan rukuk sujud seperti biasa. Rakaat kedua pula, bacalah surah al-Ikhlas selepas bacaan al-Fatihah. Kemudian rukuk sujud dan tahiyyat. Setelah selesai, abang nak Jamil bacakan doa Dhuha. Baiklah, masuk saf, lurus dan rapatkan saf. Pastikan tumit belakang kamu sama dengan rakan sebelah kamu,”   Dengan pantas akal memberi mesej kepadanya bahawa itu adalah suara Furqan. Siapa tidak kenal dengan insan ini. Gayanya yang matang, bersuara merdu tatkala mengalunkan ayat-ayat al-Quran malah dia juga seorang Hafiz Al-Quran. Sungguh hebat anugerah yang Allah kurniakan kepada  jejaka ini.
            Tanpa berfikir panjang, Amira terus menuju ke saf pertama bahagian muslimah dan mengikut imam.

            “ Ya Rabb, aku bersyukur di atas setiap rezeki yang Kau limpahkan kepada diriku yang hina ini. Cukup tidak terhitung nikmat yang aku rasai sebaik aku dilahirkan sehingga hari ini. Ya Rahman, hamba-Mu ini sedar bahawa kehidupan ini sementara Cuma. Akhirat jualah kehidupan yang hakiki. Maka, Ya Allah kau tetapkanlah hatiku ini dalam mencari rahmatMu. Cekalkan semangatku dalam jihad mencari ilmu. Kentalkanlan imanku dalam perjuangan melawan nafsu. Aku Cuma ingin menjadi hamba kepada diriMu, Ya Allah....”
            Bingkisan doa itu mengusik jiwanya sehinggakan mampu menitiskan air mata. Sebaik doa itu diaminkan, Amira duduk sejenak di tempat solatnya itu. Tersenyum dia memikirkan saat-saat kakinya menceburi dunia Al-Quran. Bermula dengan keterpaksaan, akhirnya Allah menitipkan keikhlasan. Mutiara keikhlasan itulah yang menjadi pemangkin untuknya kekal di negeri utara itu dalam menimba ilmu agama.
            Dalam mengukir senyuman, hatinya berkata, “ Sesungguhnya, kalau Allah kehendaki, pasti akan terjadi!!! Alhamdulillah...”
           
           
Raihanah Qaisara, atau Amira lebih senang memanggilnya Hana merupakan rakan baik kepada Amira. 6 tahun pengajiannya di sana, Hanalah yang menjadi teman setia kepada Amira. Hubungan mereka sudah boleh diibaratkan bagai isi dengan kuku.
            Hana yang datang bulan ketika itu setia menunggu Amira di halaman surau. Stoking serta sarung tangan yang berwarna hitam itu segera disarungkan oleh Amira. Kemudian, perlahan dia mengatur langkah menuju keluar dari musolla itu.  Segera, dia mendapatkan Hana. Maka, bermulalah perjalanan mereka menuju ke Kelas  Tauhid Ustaz Jamal.
            Dalam perjalanan, Amira mengkhabarkan bahawa hari esok dia akan pulang ke Putrajaya..
            " Kenapa terburu-buru sangat ni, Mira," ujar Hana.
            "Sebenarnya, abang aku nak kahwin. Jodoh dia sudah tiba. Alhamdulillah, Ustazah Syiqqin dan Ustaz Karim pun dah memberi keizinan dan membeli tiket kereta api. Hana, jaga diri baik-baik tau. Mungkin aku tak ada dalam 3 hari. "
            " Tiada masalah, Mira. In Sya Allah, aku boleh jaga diri walaupun kau tak ada…"
            Amira memandang Hana sekilas. Dia teragak-agak dengan jawapan daripada rakannya itu.
            " Oh, kau tak percaya ye…Kita tengok…" ujar Hana sambil mencuit bahu Amira. Tersenyum Amira tanpa bicara.
            Raihanah… Sikapnya yang mudah membuatkan orang tersenyum menjadikan Amira dan dia serasi menjadi kawan. Mereka itu bagaikan isi dengan kuku. Amira senang dengan sikapnya. Itulah yang menjadi penguat kepada ikatan ukhuwah antara mereka berdua.

**********

Perjalanan dari Kedah ke Putrajaya memakan masa 7-8 jam sekiranya menggunakan kereta api. Seawal 8.00 pagi lagi Amira sudah menaiki kereta api. Kebiasaannya, dia bakal tiba di KL Sentral sebelum Asar.
            " Ha!!! Ini dia sit no.18. Alhamdulillah, tiada orang di sebelahku," dengan hati yang gembira Amira pun meletakkan beg lalu duduk. Dia sungguh tidak sabar untuk tiba di rumah untuk berjumpa dengan keluarganya yang tercinta. Akhirnya, rindu yang membaluti dirinya sekian lama ini terubat jua.
            'Earphone' yang tersimpan dalam beg tangannya segera dicapai. Tenang dia mendengar bacaan ayat al-Quran daripada Qari Misyari al-Afasy. Suaranya sungguh merdu. Setiap kalimah yang dialunkan mudah untuk difahami maknanya dek jelasnya makhraj dalam bacaan beliau.
Amira masih teringat di saat dia dibebani tugas yang sungguh banyak sehinggakan dia tidak sempat untuk mengikuti kelas Al-Quran dan Sunnah selama seminggu. Saat itu, dia rasa sungguh khuatir kerana ujian semakin hampir. Tugasan demi tugasan menghambat dirinya yang merupakan ketua aspuri pada ketika itu. Sehinggakan suatu hari, Hana datang menghampirinya lalu diperdengarkan kepadanya bacaan Surah Ar-Rahman daripada Misyari al-Afasy. Menitis air mata Amira tatkala mengenangkan kalimah-kalimah yang menunjukkan betapa pengasihnya Pencipta itu. Nikmat kurniaannya membatasi segalanya. Amira sedar, dia  sepatutnya kuat menggalas amanah tersebut kerana Allah sudah sediakan segalanya…atap langit untuk berteduh, hamparan bumi untuk bertapak dan segala nikmat yang lain yang sering kita alpa.
            Sedang khusuk dia menghayati bait ayat, tiba-tiba Amira terlihat kelibat seseorang yang dia kenali. Kelibat itu masih belum jelas kelihatan dek dikaburi oleh manusia di sekeliling. Teliti Amira memerhati untuk mendapatkan kepastian. Melihat kelibatnya sahaja, telah menimbulkan perasaan yang aneh dalam dirinya sendiri. Amira menarik nafas sedalam-dalamnya. Dirinya semakin hampir dan semakin mendekati Amira. Wajahnya semakin jelas.
            Alangkah terkejutnya Amira… Dia, Furqan.
            " Apa dia buat di sini? Takkan dia pun nak balik bercuti. Aku fikir, aku sahaja yang pulang bermalam minggu ni. Minggu ini bukannya minggu pulang bermalam…" Amira bermonolog sendiri bertemankan persoalan yang mengganggu fikirannya.
            Apabila Furqan semakin mendekati tempat duduknya, Amira menolehkan pandangannya ke luar tingkap supaya perasaan aneh ini tidak mengganggu dirinya.
            Tiba-tiba…
            " Amira…" ada suara menyapanya dari sisi. Degupan jantung Amira tiba-tiba menjadi kencang.
            Ya Allah, dia memanggilku. Tetapkan hatiku agar tidak mudah aku termakan bisikan syaitan. Huh… Tenang, Amira. Jaga mata, jaga hati, jaga iman. Dengan perlahan Amira menoleh.
            " Ya."
            " Ini sit no.17 ? "
            Amira terdiam. Ligat dia berfikir…Adakah di sebelahnya ini tempat duduk Furqan? Hmm…
            " Oh, ya. Betullah. Ini sit No.17"
            Furqan tergamam. Ligat Furqan memikirkan tindakan yang patut dia lakukan.
            “ Takkanlah aku nak duduk sebelah Amira...Sempit pula tu. Ya Allah, bantulah diriku ini,” monolog Furqan. Bibirnya ditekan. Jasadnya masih tercegat di samping tempat duduk no.17 itu.
            Beg yang tadinya Amira letak di sebelahnya, segera diangkatnya lalu dipangku di atas riba. Amira sendiri tidak tahu apa yang patut dia lakukan.
            Setelah lama berdiam, akhirnya Furqan pun meletakkan beg sandangnya di tempat duduk itu. Lalu, dia beredar dari situ.
            Amira aneh melihat kepergian Furqan.
Hmm, ke mana dia pergi agaknya.”
            ‘ Ya Allah, bagaimanalah pula kami mendapat tempat bersebelahan.’
            Tiba-tiba Amira terfikir…
Oh ya… mungkin dia juga meminta Ustazah Syiqqin untuk membelikan tiket. Dan kesudahannya tempat kami bersebelahan… Biarlah. Aku tahu, aku ada Allah yang sentiasa ada untuk memeliharaku. Sekalipun, dia harus duduk di sebelahku, dia pasti tahu menjaga batas...
Amira mulai aneh. Hampir satu jam perjalanan dan dia masih belum melihat kelibat Furqan. Yang tinggal hanya beg pakainnya. Ligat Amira mencari-cari keberadaan Furqan.  Rupanya, Furqan duduk di tempat duduk belakang yang kosong.. Dengan bertemankan senyuman di bibir, Amira kembali tenang di posisinya sambil mentadabbur  alunan ayat Al-Quran di ‘earphone nya.

**********

" Assalamualaikum…"
            Amira akhirnya tiba di rumahnya. Sebaik tiba di KL Sentral, dia terus mendapatkan teksi. Amira sudah terbiasa untuk susah dalam kehidupan. Walaupun kehidupan keluarganya mewah namun mama dan papanya tekad untuk mendidik anak-anak mereka mengenal erti keperitan hidup. Kerana itu adalah fitrah kehidupan. Dunia bukanlah tempat untuk bersenang tetapi tempat untuk menempuh kesukaran supaya dapat mengecap kesenangan yang abadi di akhirat kelak.
            Memang sukar dinafikan apabila mama dan papa memutuskan Amira untuk menjadi hafizah. Dia agak terkejut pada awalnya kerana kawan-kawannya yang lain ke sekolah harian yang mempelajari ilmu akademik. Namun, hasrat mama dan papa begitu tinggi untuk menyuburkan acuan Al-Quran dalam diri anak-anak mereka.
            Mama dan papa yakin, gelaran hafizah ataupun hafiz tidak akan menghalang anak-anaknya daripada berjaya kerana Al-Quran itu ada hikmahnya yang tersendiri. Rezeki itu milik Allah dan kepadaNya lah kita memohon.
Mama dan papa sedar bahawa bukan mudah untuk menyesuaikan anak-anaknya dengan suasana sedemikian. Namun, mereka percaya itu adalah cabaran semata-mata, bukannya halangan. Dalam hal ini, mama dan papa banyak berkorban begitu juga anak-anaknya.
           
            Teruja. Itulah translirasi kepada perasaan Amira sebaik melihat halaman rumahnya. Khemah-khemah sudah didirikan dan dihias serba hijau. Sungguh menenangkan mata yang memandang. Perasaan teruja itu membuatkan Amira lupa yang dia masih belum menjejakkan kaki ke dalam rumah.
            “Waalaikumsalam. Sampai pun. Dari tadi mama tunggu sampai tertidur…Hmm," jawab mama sebaik membuka pintu. Amira kembali memalingkan wajahnya ke arah mama. Tersenyum Amira dapat melihat mama menyambutnya.
            " Heee… biasalah mama. Naik kereta api, lambatlah sikit nak sampai. Tadi, solat kejap dekat perhentian. Alhamdulillah banyak teksi yang free tadi. Alhamdulillah, perjalanan selamat,"
            " Alhamdulillah,"
"Eh, mama seorang je. Papa dengan Abang Hafiz mana? Tak nampak batang hidung pun.”  Mama mengiringi puterinya ke halaman rumah.
            “Papa ada mesyuarat tergempar.  Kamu tahu, syarikat Rish, hampir membuatkan syarikat papa muflis. Mesyuarat itu katanya tentang usaha mendapatkan projek baru di Tapak Pembangunan Titiwangsa. Kita sama-sama doakan semoga mesyuarat tersebut berjalan dengan lancar. In Sya Allah, esok papa cuti” kata mama.
            Dalam hati, Amira berbicara, “ Papa..papa…Sentiasa sibuk walaupun usia dah senja...
            “Oh ya, Abang Hafiz kamu, pergi beli barang yang perlu. In Sya Allah, petang ni baliklah tu,” kata mama lagi.
            Tersenyum Amira mendengarkan kata mama. Parut rindunya kepada Abang Hafiz masih belum terubat. Aidilfitri lepas Abang Hafiz tidak pulang dek melangsaikan tugasnya di Jordan. Hampir setengah tahun tidak berjumpa dengan abang kesayangannya itu.  
            Sebaik melangkah ke ruang tamu, kaki Amira bagaikan beku dek terpana melihat keindahan pelamin yang didirikan di segenap ruang tersebut. Serba hijau emerald. Sungguh menarik. Seketika terlintas di benak fikiran Amira ceramah daripada Ustaz Jamal. Katanya, pengantin yang berada di singgahsana pelamin itu tidak baik dijadikan santapan mata orang ramai. Cukuplah sekadar tontonan keluarga dan sanak saudara.. Itulah sebabnya, pelamin itu sebaiknya didirikan di dalam rumah daripada di halaman rumah. Adapun dengan ketiadaan pelamin itu adalah lebih baik.
            “ Subhanallah… indahnya singgahsana ini… Yang pasti singgahsana yang Allah sediakan di syurga jauh lebih indah,” monolog Amira sambil memandang ke arah pelamin yang dihias serba-serbi itu.
            Mama yang melihat Amira termenung jauh lantas mencuit pinggang anaknya itu.
“ Astaghfirullah hal Azim…” Amira terlatah.
            “ Lama termenung. Terpukau betul Mira tengok pelamin tu…” usik mama. Amira tersenyum sendiri.
            “ Tak adalah, mama. Cantik pelamin ni. Lagipun, inikan pertama kali ada pelamin dalam rumah kita,” kata Amira bersahaja. Fikirannya masih terpaut pada keindahan pelamin itu.
            “ Yalah. Mama tak sabar pula nak tunggu pelamin lepas ni. Agaknya rupa pelamin tu macam mana ya?” ucap mama.
            Siapa makan cili dia terasa pedas. Amira tersentap dengan kata-kata yang keluar daripada mulut mama. Dia begitu tahu bahawa kenyataan daripada mama tadi tertuju kepadanya. Dia tidak mampu memberi respon terhadap kenyataan mama tadi. Mama tertawa kecil melihat puterinya yang terkaku dek ungkapannya tadi.
            Perut yang dari tadi berkeroncong menyebabkan otak ligat mengesan bau asam pedas yang kian menyengat. Amira yakin itu adalah makanan kegemarannya.
            “Tahu saja Mira ni. Sebelum makan, simpan dulu beg ni dalam bilik Mira. Lepas tu, turun dan makan. Mama siapkan lauk pauk, ya,” kata mama sambil menepuk Amira.
            “ Mama mesti penat. Mama rehat sajalah. Tak payah nak siapkan apa-apa, nanti Mira uruskan sendiri. Bukannya susah, pergi dapur, cedok nasi, ambil asam pedas air tangan mama, lepas tu makan,” kata Amira.
            “Tak apalah. Bukan selalu mama nak buat macam ni dekat anak mama.” Senyuman indah terukir di wajah mama.
            “Nanti Mira nak makan, Mira panggil mama. Kita makan sama-sama,” kata Amira lalu membawa mama menuju ke bilik beradu mama.
            “ Yalah, sayang. Nanti  kalau nak makan, panggil mama dalam bilik tau. Kita makan sama-sama,”
Amira mengangguk. Beg yang berada di tangan mama diambilnya lalu terus menuju ke anak tangga.

**********

“Mama, bilik pengantin dekat tingkat bawahkan?” sempat Amira berborak dengan mama di ruang makan.
            " Hmm.. Betul tu. Kenapa? "
            " Tapi, Mira perasan tadi, bilik yang sebelah dengan bilik Mira tu ada perabot baru, karpet, langsir bagai. Macam bilik tu pula yang jadi bilik pengantin. "
            " Oh. Bukan bilik tu je yang ada perabut baru. Kan sebelum ni bilik tu kosong. Jadi, kami sekeluarga kemas bilik tu semalam. Nanti ada Kumpulan al-Muttaqin, pasukan tilawah menginap dekat sini, keluarga sebelah mama pun turun. In Sha Allah, petang ni sampailah,"
            Sambil berborak, Amira menikmati hidangan asam pedas air tangan mama. Inilah kegemarannya sejak kecil.
            Jam sudah menunjukkan pukul 5.30 petang.


            “ Hmm…Lama betul Abang Hafiz keluar. Aku harap perkahwinan ini dapat membahagiakannya. Abang…Mira akan tumpang bahagia,” monolog Amira.


BERSAMBUNG...
* Maafkan salah dan silap yang terdapat dalam karya ini. 
Buang yang keruh, ambil yang jernih. In Shaa Allah.

Assalamualaikum

Wednesday, 4 March 2015

SPM 14: Indahnya Tawakal

Assalamualaikum


Akhirnya, debaran para calon SPM 2014 memuncak semalam, 
3 MAC 2015.

Sukar nak digambarkan perasaan menanti keputusan. Malam tu, Allah sajalah yang tahu debarannya macam mana. Tapi, kita orang Islam. Allah dah bagi panduan untuk tenangkan jiwa.
Allah kan pernah berfirman..
" Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah lah, hati menjadi tenang "
(ar-Rad : 28 )

Jam 9.20 pagi mula bertolak ke Parit, Perak. Macam-macam berita yang Aishah dengar dalam kereta...

Pelajar cemerlang seluruh Malaysia menurun...Yang paling gerun, pelajar cemerlang maktab menurun iaitu sebanyak 9 orang sahaja berjaya mendapat 9A. Jantung semakin berdebar. 
Mama kata,
9 orang 9A. Kakak salah seorang daripadanya

Huh. Ameen. Tapi, dalam hati macam berat nak terima sebab kemungkinan untuk mendapatkan 9A tu sangat rendah. Hampir 2 jam lebih perjalanan, akhirnya 11.30 pagi sampailah di maktab. 
Ingatkan, terus ambil result. Rupanya kena pastikan dulu setiap hutang dah terlangsai. Haha. Waktu ni, debaran tu sikit berkurang sebab dapat bersembang dengan kawan-kawan sambil beratur dekat kaunter bayaran.

Selesai kesemua kaunter bayaran, akhirnya masanya telah tiba. Langkah terus diatur menuju ke meja yang padanya tertampal kertas bertulis
501

Ustaz Wan yang menjaga kaunter. Siapa tak kenal Us. Wan. Us paling femes dan sporting di maktab. Hadooiii.
" Apa nombor angka giliran awak?" ustaz tanya.
Aishah tahu, ustaz ni mesti nak duga sama ada pelajar ingat ke tidak no. angka giliran dia. Takkan Aishah lupa angka keramat tu. Hah

Aishah pun sebut. Banyak kali pula tu. Ustaz macam tak boleh ingat nombor yang Aishah sebut. Ustaz give up. Tergelak Aishah tengok ustaz. Apabila Aishah bagi tahu nama...ustaz jumpa pun slip peperiksaan SPM. Dari riak wajah ustaz, tersengeh-sengeh pada masa sama masih memegang slip Aishah.

" Awak nak pilih kumpulan mana? Dia ada tiga kumpulan..
Kumpulan 1: 9A+. Tapi yang tu dah ambil dah. Seorang saja.
Kumpula 2: 9A. Ada 9 orang.
Kumpulan 3: 8A 1B. Ini ada 19 orang."
Ustaz masih tersengeh-sengeh...

Siapa tak nak 9A. Tapi, hati Aishah kuat kata yang Aishah bukan pemilik 9A. Ustaz tersenyum sambil katakan "TAHNIAH". Slip tersebut bertukar tangan.

Seperti yang dijangkakan 8A 1B. 
Alhamdulillah. Ucapan syukur itu berulang kali terlafaz. Tak tahu nak gambarkan rasa waktu tu. Huh.
4A+ 3A 1A- 1B+


Walaupun apa yang dimatlamatkan tak berjaya, Aishah masih rasa senang hati. Bila Aishah fikir balik masa dalam perjalanan balik, Aishah tersenyum. Aishah tahu inilah rasanya apabila kita sudah ikhtiar dan bertawakal. Maksudnya, kita serahkan segala yang kita ikhtiarkan kepada Allah. Sebab itu, mudah untuk kita redha.

Ada yang sarankan supaya re-check sebab B+. Aishah menolak. Takdir itu Aishah terima. Aishah tahu, bukan senang untuk Aishah sampai ke tahap ini. Dan keputusan ini adalah RANCANGAN ALLAH.
Dia lebih TAHU sedangkan kita TIDAK TAHU apa yang DIA TAHU.
#bersangkabaikkepada Allah =)


Kepada calon lain...Yang berjaya mencapai matlamat, Alhamdulillah, SYUKUR kepada Allah yang memberikan kejayaan itu. Bahagialah kerana rancangan anda berjaya.
Kepada calon lain...Yang tidak berjaya mencapai matlamat. Tetap SYUKUR dengan rezeki Allah. Sepatutnya, kita lebih bahagia kerana ini adalah rancangan Allah.

Jangan putus ada jika Allah SWT menunda apa-apa yang kamu sukai.

Jangan bersedih hati. Tapi, bersabar dan tersenyumlah...

Kerana Dia berfirman dengan penuh kasih dan sayang...


" Sesungguhnya, sesudah kesulitan ada kemudahan"
Surah Al-Insyirah :6


Kepada calon SPM 2015. Huuuu...Struggle hard dear. And jangan lupa pengisian rohani itu juga penting. Dapatkan berkat menuntut ilmu. Gunakan peluang yang ada ini untuk memastikan rancangan dan matlamat anda tercapai. 
In Sya Allah. 
Kejayaan itu tidak lain hanyalah milik Allah dan dariNya kita mendapatkan kejayaan.

Assalamualaikum.