Saturday, 18 April 2015

Novel Bersiri : Indahnya Takdir Ini 4


 
NOVEL ISLAMI
NOR AISHAH BT NORRIFIN

BAB 4: Adik Wawa


“Perhatian kepada sesiapa yang berminat untuk menyertai lawatan ke rumah anak yatim hari esok, sila berikan nama anda kepada Ustaz Mohiddin atau Ustazah Sakinah selewat-lewatnya sebelum maghrib ini. Terima kasih,” ucap Hidayah memberi pengumuman kepada seluruh warga maktab.
            Pengumuman tadi mendapat perhatian Amira dan Hana.
            “Hana, macam menarik sahaja. Apa kata kita sertai? Sekurang-kurangnya kita dapat lepaskan tekanan belajar. Lagipun, aku tak pernah rasa kehadiran adik dalam hidup aku,” kata Amira sambil menepuk bahu Hana yang berada di sebelahnya di ruang makan.
            “Hmm. Aku.. Boleh je,” kata Hana pendek.
            “Kalau macam tu, jom,” kata Amira lantas menarik tangan Hana.
            “Nak ke mana?” tanya Hana kehairanan dengan tindakan rakannya itu.
            “Jom pergi daftar dekat Ustazah Sakinah lah.”
            “Oh. Ingatkan, Mira nak buat apa tadi,” kata Hana lalu mula bangun dari tempat duduk.

*********

“Kepada yang menyertai lawatan ke rumah anak yatim sila berkumpul di hadapan bilik tasmi’ setelah selesai sarapan pagi.” Suara yang berkumandang di seluruh dorm itu telah menarik perhatian Amira dan Hana.
            Sebelum ke surau untuk menunaikan solat subuh, segala barang yang hendak dibawa ke sana mereka letakkan dalam beg sandang sebagai persiapan.
            “Hana, dah siap ke belum? Tak lama lagi, azan subuh berkumandang. Jom ke surau,” kata Amira kepada Hana.
            “Dah lama dah siap. Kau yang dari tadi sibuk mengemas.,” kata Hana lantas memulakan langkah ke surau.
            Jauh di sudut hati Mira tersimpan beribu perasaan yang tidak mampu diungkapkan dengan kata-kata. Yang pasti dia begitu tidak sabar untuk tiba di rumah anak yatim tersebut. Mungkin, situasi Amira yang tidak mempunyai adik menjadikan dia begitu bersemangat untuk ke sana. Amira reda dengan ketentuan Allah. Dia gembira dengan keadaannnya sekarang walaupun tanpa adik. Baginya, dia sudah memiliki seorang abang yang cukup membahagiakan.
            Selesai solat Subuh, sebuah bas mula bertolak. Menurut Ustaz Mohiddin, Rumah Anak Yatim al-Latiff, tidak jauh dari maktab. Semasa di dalam bas, Ustaz Mohiddin sempat berpesan kepada peserta yang menyertai lawatan.
            “Ustaz nak ingatkan, kita bukannya nak jumpa dengan anak-anak yang dihidangkan dengan kemewahan, tapi kita nak jumpa dengan anak-anak yang kurang bernasib baik. Mereka dilahirkan tanpa kehadiran ibu, ayah atau mungkin kedua-duanya. Jadi, ingat, jaga mulut kamu. Jangan pernah katakan sesuatu yang mungkin menyinggung perasaan mereka,” pesan Ustaz Mohiddin.
            “Belailah mereka. Cuba dekati mereka dan berikan kasih sayang seperti yang mereka harapkan. Nabi pernah bersabda,
Barangsiapa mengambil anak yatim dari kalangan Muslimin, dan memberinya makan dan minum, Allah akan memasukkannya ke syurga, kecuali bila ia berbuat dosa besar yang tidak terampuni.( HR. Tarmidzi)
            Lihatlah bagaimana tingginya darjat mereka di sisi Allah sehinggakan sesiapa yang melakukan kebajikan kepada anak yatim ini, tempatnya adalah di syurga. Gunakan masa ini sebaik mungkin untuk temani sepi mereka. Saya yakin, kamu yang mendaftar untuk lawatan ini memiliki hati yang ikhlas bukan atas dasar paksaan. In Sya Allah. Sebaik sahaja loceng dibunyikan, bersiap sedia untuk pulang. Setelah itu, kita akan terus menuju ke Masjid Az-Zaujah untuk tunaikan solat Zuhur,” kata Ustaz Mohiddin lagi.
            Amira mengangguk sendiri tanda faham. Perasaan terujanya membuak-buak dalam tubuhnya.
            Perjalanan dari maktab ke rumah anak yatim tersebut memakan masa hampir 40 minit.
            Perasaaan teruja yang menyelubungi diri Amira memuncak sebaik tiba di panti tersebut. Hampir 30 minit sesi perkenalan diri berlangsung. Amira dapat lihat wajah kanak-kanak yang penuh dengan cahaya ketenangan. Dia hanya tersenyum manis terhadap mereka. Bagi Amira sekurang-kurangnya senyuman itu mampu menyenangkan hati anak-anak tersebut.
Setalah hampir 2 jam melakukan aktiviti beramai-ramai bersama mereka, Ustaz Mohiddin melepaskan peserta lawatan untuk aktiviti bebas bersama penghuni panti asuhan tersebut. Amira sempat berkenalan dengan pengurus panti, Puan Syafinaz atau anak-anak di situ lebih kenalinya sebagai ummi. Keadaan Puan Syafinaz yang ditinggalkan harta yang banyak oleh arwah suaminya telah mendorong beliau untuk membuka Rumah Anak Yatim Al-Latiff tersebut.
            Sedang Amira menikmati pemandangan di jendela panti, Amira terlihat seorang budak perempuan yang duduk termenung di tepi pokok. Amira merasakan sesuatu yang lain pada budak perempuan itu. Amira segera menuju keluar untuk mendekati budak tersebut.
Semakin lama, Amira semakin menghampiri budak itu. Kehadiran Amira seakan-akan dirasai oleh budak perempuan itu. Budak tersebut memandang ke arah Amira sekali gus melahirkan perasaan terpukau dalam hati Amira.
            ‘Subhana-Allah, berserinya wajah budak ni. Bibirnya begitu merah dan pipinya juga berseri-seri,’ bisik hati Amira.
            “Siapa nama adik? Nama akak, Taqiyyah Amira. panggil kak Mira je,” bicara Amira dengan nada mesra.
            Belum sempat dia menjawab pertanyaan itu, tangan Amira digapainya lantas diciumnya.
            “Nama saya Nurul Afifah  Azwa binti Azzam. Panggil Wawa,” jawab Adik Wawa. Amira masih terkejut dengan tindakannya. Dia yakin, ada cerita di sebalik sikap Adik Wawa ini.
            Amira mengusap kepalanya perlahan. Teringat hadis nabi yang berbunyi ‘ Barangsiapa meletakan tangannya di atas kepala anak yatim dengan penuh kasih sayang, maka Allah akan menuliskan kebaikan pada setiap lembar rambut yang disentuh tangannya.’  (HR.Ahmad, Ath-Thabrani, Ibnu Hibban, Ibnu Abi Aufa)
            “Adik Wawa kenapa termenung seorang diri di sini. Kawan-kawan yang lain semuanya seronok bermain di dalam sana. Hidup kita akan lebih seronok kalau ada kawan. Bila kita tak ada kawan, semuanya rasa kosong.”
            Amira sambung berbual dengannya di bawah pohon yang rendang. Lama Amira menanti jawapan daripadanya.
            “Adik sunyi. Mereka di sana, dah biasa tak ada mama dan ayah. Adik tak biasa lagi kak. Mama dan ayah tinggalkan adik dua minggu lepas. Adik nak mama dengan ayah. Adik tak nak diorang. Diorang tak sama dengan mama ayah,” kata Adik Wawa sambil menunjuk tangannya ke arah kanak-kanak lain yang sedang bermain.
            “Adik Wawa percaya dengan qada dan qadar Allah?” Amira bertanya sambil merenung matanya yang berwarna biru coklat.
            “Qada dan qadar? Apa tu qada dan qadar Allah tu, kak?” tanya budak yang baru berusia 7 tahun itu.
            “Qada qadar itu lebih kurang macam takdir  atau sesuatu yang Allah tetapkan untuk kita. Semua yang kita alami hari ini, sebenarnya Allah dah tentukan sejak azali lagi. Sebelum kita dilahirkan dalam dunia ini lagi. Adik Wawa, setiap benda yang Allah tentukan itu, ada kebaikan. Memang, sekarang Adik Wawa rasa pahit lalui semua ini. Tapi, Allah lebih sayangkan mama dan ayah Adik Wawa. Cepat atau lambat, Adik Wawa pasti dapat lihat kebaikan yang Allah janjikan,” kata Amira bertemankan senyuman.
            “Kebaikan apanya kak. Adik tak rasa gembira langsung,” katanya lagi.
            “Kebaikan yang Allah janjikan tu, mungkin bukan sekarang. Mungkin di satu masa yang Adik Wawa sendiri tak tahu bila. Adik Wawa kenal Nabi Muhammad SAW?”
            “Kenal”. Riak wajah Adik Wawa seperti ingin tahu dan ingin mendengar cerita.
            “Nabi Muhammad juga anak yatim piatu sama macam Adik Wawa. Nabi tak pernah tengok wajah ayahandanya. Bonda nabi pula meninggal sebaik sahaja menziarahi kubur ayahandanya. Itupun, semasa nabi masih kecil. Tapi, Adik Wawa ada dengar kisah nabi putus asa? Ada dengar kisah nabi hilang arah setelah kewafatan bondanya? Tidak!! Nabi seorang yang bersemangat kental. Pada usia kanak-kanak lagi, dia sudah mengikut ayah saudaranya ke Syam bagi mengembala kambing. Apabila baginda meningkat dewasa, baginda dipilih untuk menyampaikan risalah kerasulan kepada musyrikin Mekah. Baginda tabah, walaupun tiada bonda dan ayahanda di samping baginda,” ujar Amira kepada Adik Wawa dengan lembut.
            “Nabi sangat sayangkan anak yatim. Allah pun sayang kepada anak yatim. Allah berfirman, maka terhadap anak yatim maka janganlah engkau berlaku sewenang-wenang’. (Ad-Dhuha:9). Nampak tak, Allah bagi warning dekat manusia supaya jangan mempermainkan anak yatim macam Adik Wawa,” kata Amira lagi.
            Kali ini, Amira mendapatkan tangan adik wawa. Dia mengusap tangannya dengan penuh kasih sayang.
            “Percayalah yang Allah sentiasa bersama dengan kita di setiap langkah kita. Allah akan ada di saat kita perlukan-Nya. Cuma, persoalannya adakah kita sentiasa ada untukNya?,” ujar Amira. Dia mula menjiwai watak seorang kakak.
            Amira merenung bola mati Adik Wawa. Kelihatan air mata yang tadinya bergenang air mata, mula menitis.
            “Adik Wawa. Kenapa menangis sayang? Kakak minta maaf kalau ada kata-kata kakak yang menyinggung perasaan adik,”
            Belum sempat Amira menyambung bicaranya, pelukan hangat hinggap di tubuh Amira. Amira dapat mendengar, tangisan budak itu semakin esak.
            “Kakak, adik sayang mama dengan ayah. Tapi, diorang tak pernah cerita macam akak cerita pada adik tadi. Mereka selalu tinggalkan adik. Sehinggalah satu hari dia orang tinggalkan adik di sini. Selepas itu, ummi cakap yang mama dan ayah meninggal dunia sebab kemalangan. Adik tak pernah rasa kasih sayang seperti ini. Dalam dunia ni, adik Cuma ada akak dengan abang je. Adik dapat rasa, yang diri adik dihargai dan disayangi. Terima kasih, akak,” katanya kepada Amira. Pelukannya masih erat.
            Amira hairan dengan kata Adik Wawa tadi.  “ Abang? Siapa abang?” bisik hati Amira.
            “Adik Wawa, tak baik cakap begitu. Ibu bapa itu adalah insan yang banyak berjasa terhadap kita. Kita perlu hargai dan balas jasa mereka. Mungkin mereka tersilap kerana tinggalkan adik di sini. Adik Wawa fikirkan perkara yang baik sahaja. Perkara yang sudah berlalu, biarkan pergi. Hari ini, Adik Wawa buka buku baru. Adik seorang yang kuat dan tabah seperti Rasulullah SAW,” kata Amira
            Pelukan itu dileraikan oleh Adik Wawa.
            “Nah. Ambil kurma ini. Sedap. Abang kakak yang belikan,” kata Amira lalu menghulurkan sebiji kurma kepada Adik wawa.
            “Terima kasih, kak,” katanya pendek, lalu diambilnya buah kurma dari tangan Amira.
            “Akak tahu tak, setiap kali selepas solat, adik selalu minta pada Allah, supaya satu hari nanti Allah beri seseorang yang baik yang dapat temani adik di sini macam Abang Furqan.” katanya sambil mengukir senyuman manis.
Amira tersentak mendengarkan nama Furqan.
Furqan? Mungkin orang lain.’ Getus hatinya.
            " Alhamdulillah, Adik Wawa sudah pun pandai solat dan berdoa kepada Allah. Maknanya adik dah tahu yang tujuan hidup kita hanya bersandarkan Allah. Bagus.Adik Wawa kena Ingat bahawa Allah itu adalah yang pertama yang kita perlu luahkan perasaan kita. Barulah, orang lain” balas Amira bertemankan senyuman. Adik Wawa terus merenung wajah ayu Amira.
            “Comel, akak,” kata Adik Wawa sambil mencubit pipi Amira.
            Terkesima. Itulah perasaannya tatkala jari-jemari Adik Wawa mencuit manja pipinya. Amira mulai sedar bahawa Adik Wawa dan dirinya bagai empedu lekat di hati. Walaupun pertemuan antara mereka belum sampai 24 jam namun Amira dapat merasakan keserasian dengan Adik Wawa. Begitu juga dengan Adik Wawa. Mereka begitu senang berbual dan berbicara tentang hal peribadi.
            “Akak, besarnya tudung akak. Kalau mama dulu, tudung sampai sini saja. Lepas tu, tinggi pula tu,” kata Adik Wawa sambil menunjuk arah atas dada. Amira memahami istilah tinggi di situ.
            “Mama adik mungkin tak tahu. Allah suruh kaum wanita menutup aurat. Tudung yang mama adik pakai tu salah cara memakainya. Allah suruh tutup aurat maksudnya tutup kepala kita ini sampailah bawah paras dada. Akak pakai tudung labuh ini, supaya tiada keraguan dan tak timbulkan suara-suara sumbang daripada masyarakat sekeliling” Amira cuba untuk jelaskan kepadanya dengan perlahan.
            “Adik pun nak pakai tudung besar ni,” Adik Wawa bagaikan beria-ria untuk mengikut jejak langkah Amira.
        “Adik Wawa kalau pakai tudung akak ni, nanti sapu tanahlah jawabnya.” Bijak Amira menuturkan kata-kata kepada Adik Wawa.
            Amira begitu gembira dapat melihat senyuman pada wajahnya.
            Tiba-tiba dia teringat akan temannya, Hana. Ketika itu, baru dia sibuk menoleh ke kiri dan kanan. Mencari-cari keberadaan Hana. Tiba-tiba, muncul satu kelibat yang berdiri di hadapan mereka berdua. Amira pun mendongak untuk melihat, siapakah gerangan yang cuba menganggu mereka di bawah pohon itu. Rupa-rupanya, kelibat itu milik Furqan.
            “ Ya Allah, kenapa dia selalu ada di mana aku ada?
            “Abang pun datang sini. Ingatkan abang tak ikut,” kata Adik Wawa lantas mendekati Furqan.
            “Abang? Ini abang Adik Wawa ke?” Amira kehairanan.
            “Bukanlah, akak. Abang Furqan selalu datang sini. Jenguk adik di sini. Abang Furqan ni baik sangat sama macam akak,” kata Adik Wawa.
            “Oh,” jawab Amira ringkas.
            “Abang ingat nak duduk dengan adik, tapi tengok-tengok adik sudah ada peneman. Jadi, abang pergi tempat lain dulu,” kata Furqan kepada Adik Wawa dengan begitu lembut.
            Amira perlahan-lahan bangun.
            “Akak nak pergi mana?  Temanlah adik di sini. Kita borak sama-sama dengan Abang Furqan.” Adik Wawa memanggil Amira yang bangun dari situ.
            “Hmm? Adik Wawa boraklah dengan Abang Furqan. Dari tadi kita dah borak,” kata Amira bersulam segan silu.
            “Akak. tak lama lagi akak dah nak balik. Marilah akak.” Panggil Adik Wawa lagi.
           Panggilannya kali ini mendayu-dayu. Amira termakan dengan suaranya yang lembut. Akhirnya, Amira pun mengalah lalu kembali duduk di sampingnya. Perasaannya kali ini berbeza. Amira tidak mampu untuk berbual dengan rancak seperti sebelumnya. Dirinya sangat cuak apabila Furqan turut berada di situ. Suasana di situ menjadi sepi tanpa sebarang bualan. Hanya bunyi burung berkicauan yang menjadi pemecah kesunyian.
            Tiba-tiba, Adik Wawa mengeluarkan sekeping gambar dari kocek seluarnya. Terpampang gambar mempelai yang sedang bersanding. Di fikiran Amira, itu adalah gambar mama dan ayah Adik Wawa.
            1 April 1990… " Apa ni kak?" tanya Adik Wawa tentang tarikh yang tertera di belakang gambar itu.
            " Ini mungkin tarikh pernikahan mama dan ayah dik."
            " Pernikahan??? Apa tu?"
            " Hmm…Adik Wawa tak perlu tahu lagi kot…" jawab Amira ringkas.
            " Kahwin itu akan terjadi apabila Allah membongkarkan rahsia. Rahsia jodoh kita. Semua orang akan mengalaminya…Abang, Kak Mira dan adik pun akan alaminya.." jawab Furqan
            ‘Ya Allah. Kau jawab juga Furqan. Hmm’ bisik hatik Amira.
            Agak lama mereka berbual bersama sehingga jam menunjukkan pukul 12.00 tengah hari.  Kedengaran bunyi loceng.
            “Adik, abang pergi dulu. Nanti abang datang lagi. Jaga diri ya, jangan jadi budak nakal. Assalamualaikum,” Furqan segera bangun.
            “Waalaikumsalam... Abang pun jaga diri. Jangan nakal-nakal,” balas Adik Wawa.
            Tersenyum Furqan mendengarkannya.
            “Akak, terima kasih banyak-banyak sebab bercerita banyak benda pada adik tadi. Adik rasa seronok sangat borak dengan akak. Nanti, bila akak lapang, datanglah sini. Adik nak tunjuk macam-macam pada akak” kata Adik Wawa kepada Amira. Amira bahagia kerana kehadirannya terasa dihargai.
            “Sayang, akak pasti datang sini tapi, akak tak janji yang akak akan selalu datang. In Sya Allah, kita akan jumpa lagi. Adik Wawa, bergaullah dengan kawan-kawan yang lain. Ingat, hidup kita akan bosan kalau kita tiada kawan. Cari kawan yang baik-baik yang  boleh menjadi contoh buat adik. Jaga diri, sayang,” kata Amira lantas mendekati dahinya dan memberi kucupan terakhir sebelum pulang ke maktab.
            “Assalamualaikum.” Belum sempat Amira memberi salam, Adik Wawa terlebih dahulu memberi salam.
            “Waalaikumusalam.” Tangan Amira digapainya lalu disalam. Amira dapat rasakan ketenangan sepanjang berada di situ. Ketenangan itulah yang diharapkan sebelum sampai ke situ. Sekurang-kurangnya, dia dapat melupakan seketika bebanan tugasan di maktab.
            Sebelum menaiki bas, Furqan sempat berkata kepada Amira, “Terima kasih sebab ceriakan Adik Wawa.”

            Amira hanya tersenyum. Dalam perjalanan pulang, dia mendapat tahu daripada Hana bahawa sebenarnya program ini merupakan idea Furqan. Amira faham mengapa program ini datanganya daripada cetusan idea Furqan. Rupa- Rupanya Furqan sering ke situ. Semestinya, Furqan lebih tahu keadaan kanak-kanak di situ yang dahagakan kasih sayang.


BERSAMBUNG...
* Maafkan salah dan silap yang terdapat dalam karya ini. 
Buang yang keruh, ambil yang jernih. In Shaa Allah.

Assalamualaikum

Novel Bersiri : Indahnya Takdir Ini 6


NOVEL ISLAMI
NOR AISHAH BT NORRIFIN

BAB 6: Kala Subuh


Pagi itu, kejadian yang berlaku malam tadi menjadi berita hangat bualan pelajar-pelajar aspuri. Kejadian malam itu masih segar dalam ingatan Amira. Pagi hujung minggu itu diisi oleh semua pelajar untuk mengemas pakaian. Dua hari berbaki sebelum mereka mula bercuti, sementara Amira dan rakan-rakannya yang lain yang akan menduduki STAM pula makin merasai debaran musim peperiksaan yang bakal menjelang 5 hari lagi.
            “ Rasa macam tak percaya…” ujar Hana secara tetiba di meja belajarnya. Amira tertarik untuk menanyakan apa yang bermain di benak fikiran Hana.
            “ Hana… Apa yang kau rasa macam tak percaya tu?”
            “ Mm… Aku fikirkan jauh betul perjalanan kita di sini. Susah senang sama-sama kita lalui. Bagi aku, tahun yang paling mencabar adalah apabila kita sama-sama menjadi Lajnah Aspuri. Subhanallah..Allah saja yang tahu betapa beratnya amanah itukan? Dia yang memberi ujian kepada kita dan Dia juga yang akhirnya memudahkan  kita…”
            “ Itulah, roda kehidupan tidak pernah berhenti. Terus berputar. Sekejap kita di atas, sekejap kita di bawah. Yang pasti, kita kena sentiasa berusaha. Ingat, pesan Imam Syafie:
            ‘ Berusahalah kamu, sesungguhnya kemanisan hidup itu terletak pada apa yang diusahakan
Kita sama-sama dalam jalan mencari ilmu. In Sya Allah, Allah itu akan memudahkan jalan kita bersama…” ujar Amira.
            Mereka saling mengukir senyuman di wajah. Memang indah mengimbau nostalgia kerana nostalgia itulah yang banyak mematangkan kehidupan ini.  Bercakap soal nostalgia, Amira teringat saat dia masih mentah untuk memahami tujuan menuntut ilmu dalam kehidupan.

Ketika itu Amira baru berusia 7 tahun. Dia telah ditempatkan di sekolah harian biasa seperti orang lain. Namun, segalanya berubah apabila dirinya dipindahkan ke Sekolah Tahfiz Sains At-Taufiq pada tahun yang sama. Susah untuk dia menerima suasana yang baru itu. Apatahlagi, dia dipisahkan daripada mama dan papa seawal usia 7 tahun.
           
            “ Abang, saya takutlah. Betul ke, tindakan kita nak masukkan Amira ke sekolah tu. Tidak awal sangatkah dia perlu melalui suasana berasrama?” bincang mama di ruang tamu.
            “ Awak jangan risau. Kita kan dah bincang sebelum ini. Dalam hal ini, kita kena berkorban. Anak kita pun kena berkorban. Ini demi masa depan dia,” ujar papa.
            “ Macam mana kalau...”
            “ Shh...Cuba fikirkan benda yang baik. Awal-awal, biasalah. Lama-lama nanti Amira tu terbiasalah. Tengok Hafiz tu. Dulu pun macam Amira. Sekarang, bila dah biasa, tak adalah dia merungut,” ujar papa menenangkan hati mama. Jiwa ibu mana yang tidak sedih apabila harus melepaskan anaknya yang baru setahun jagung itu.
            Hujung minggu itu mereka merancang untuk melawat Amira di sana.
            “ Mama… Papa…” Amira kegirangan menerima kunjungan daripada mama dan papa setelah 2 minggu berada di asrama. Dia tekad untuk keluar daripada tahfiz tersebut. Dia sudah tidak tahan lagi dengan suasana yang memaksanya untuk menghafaz Al-Quran.
            Mama sebak melihat keadaan puterinya yang begitu bahagia melihat kedatangan mereka ke situ. Rasanya bagai terlalu lama mereka tidak bersua. Walhal, baru 2 minggu.
            “ Mira… Macam mana sayang? Sihat?” sapa mama dengan lembut. Papa turut berada di situ sambil memerhati gelagat puterinya.
            “ Tak!!! Tak sihat!!! Mira nak balik. Mira tak nak duduk sini. Tengok ni. Mira kena gigit dengan pepijat…” ligat Amira memikirkan cara agar dapat keluar dari tempat itu.
            “ Oh, biasalah tu. Lain kali, tepuk dulu bantal sebelum tidur. Papa dengan mama datang nak tengok keadaan Mira di sini. Sayang, sabar banyak-banyak di sini, ya. Dengar cakap ustaz dengan ustazah. Jangan membantah…” ujar papa dengan penuh kasih sayang.
            Jenuh Amira memikirkan cara lain agar mama dan papa membawanya pulang ke rumah. Namun, kesudahannya dia tetap kekal di situ. Hari demi hari berlalu. Amira sering menitiskan air mata kerana dia tidak menjumpai mutiara keikhlasan untuknya menghafaz al-Quran. Dalam keadaan keterpaksaan itu, dia gagahkan dirinya untuk menghafaz al-Quran. Sesungguhnya, Tuhan itu Maha Adil. Walaupun dalam keadaan terpaksa, Amira masih mampu untuk menghafaz lebih kurang 9 juzuk pada tahun itu.
         Dia pulang ke rumah berbekalkan 9 juzuk Kalamullah dalam ingatannya.
            “ Inikah, anak abang yang masuk tahfiz sains tu?” Pak Su Azrul yang menyinggah di rumah ketika itu sempat berborak-borak dengan mereka sekeluarga.
            “ Ya. Inilah dia, Taqiyyah Amira. Alhamdulillah, dia kuat untuk semua ini. Ini langkah pertama dia sebelum kami nak jadikan dia seorang hafizah. Memang itu impian abang dengan isteri. Kami tahu banyak cabarannya. Antaranya, dia sendiri. Bukan mudah dia nak terima suasana begitu. In Sya Allah, nanti dia akan faham tujuan kami bawa dia ke jalan ini,” ujar papa. Amira hanya mendengar tanpa memahami secara mendalam dek usianya yang masih setahun jagung. Mama setia berada di samping puterinya itu sambil mengusap-usap tangannya. Pak Ngah Azrul kelihatan tertarik kepada Amira yang mengaji di tahfiz sains seawal usia 7 tahun.
            “ Taqiyyah Amira… Dah hafaz berapa juzuk?” Pak Ngah Azrul mengajukan soalan kepada Amira.          
            “ 9 juzuk.” Balasnya ringkas.
            Senyuman mulai terukir pada wajah Pak Ngah Azrul sebaik mendengar jawapan gadis cilik itu. Amira tidak tahu mengapa semua orang bahagia dengan pencapaiannya sedangkan dirinya sendiri tidak dapat menerima keadaan itu sama sekali. Malah, berharap agar dia dapat keluar dari situ. Setahun di sana terasa bagai sedekad.
            Sebelum Pak Ngah Azrul pulang, dia hulurkan sejumlah wang bernilai RM 50 sebanyak dua keping. Sejak hari itu, setiap kali Amira menerima kunjungan tetamu, dia pasti menerima wang atau sebarang bentuk hadiah daripada mereka. Kadang-kadang dia sendiri aneh dan tidak memahami tujuan wang dan hadiah itu diberikan. Adakah supaya dirinya kuat untuk hadapi semua ini? Tapi kenapa?
            Suatu malam, mama dan papa melangkah masuk ke dalam bilik Amira. Mereka menghampirinya yang sedang duduk di birai katil.
            “ Sayang… tengok ni…” kata mama sambil menunjukkan kepadanya sejumlah wang. Setelah dikira, wang tersebut bejumlah RM 1200.00. Amira memandang wajah mama dan papa.
            “ Mira, ini rezeki daripada Allah SWT. Budak darjah satu susah nak terima duit sebanyak ini. Tapi, Allah angkat darjat Mira dan layak untuk terima ganjaran ini. Bukan sebarangan Allah angkat darjat Mira. Tapi, Al-Quran yang dah tersemat di jiwa Mira itulah yang telah meletakkan darjat Mira tinggi daripada orang lain. Ingat, kita ni tiada apa-apa. Tapi, Al-Quran telah menjadikan kita sesuatu yang bernilai…” nasihat papa begitu halus maknanya. Susah untuk dia fahami kata-kata daripada papa. Namun, Amira tahu mereka lakukan ini kerana sayang kepadanya.
            Jadi, Amira teruskan tahun berikutnya sehinggalah umurnya menjangkau 12 tahun. Sepanjang 6 tahun dia di sana, Amira kuatkan diri untuk menghafaz al-Quran walaupun dalam keadaan terpaksa. Apabila memikirkan mama dan papa, dia bersemangat untuk mengaji. Amira tahu bahawa 6 tahun dia di sana, dia gagal menemui mutiara keikhlasan.  Baginya, cukuplah sekadar menjadikan hasrat mama dan papa tercapai iaitu menjadikan dirinya seorang hafizah.
            Masa terus berlalu. Amira berjaya dengan cemerlang dalam peperiksaan. Akhirnya, dia berjaya ditempatkan di Maktab Pendidikan Al-Quran Al-Ghazali, Kedah. Kali ini, Amira harus merantau jauh ke utara meninggalkan mama dan papa. Pada mulanya, Amira sudah berasa tidak kuat lagi untuk teruskan perjuangan ini. Malah, dia hampir menyuarakan kekalahan kepada mama dan papa. Namun, Abang Hafiz seakan-akan memahami situasinya. Dia juga pernah berada di tempat Amira suatu masa dahulu. Bagaimana Amira lalui, begitu juga yang dilalui oleh Abang Hafiz semasa zaman kanak-kanaknya.
            “ Abang tahu, Mira ada masalah. Boleh abang dengar?” soal Abang Hafiz dengan lembut. Amira menunduk. Dia tidak tahu sama ada patut atau tidak untuk dia luahkan kepada Abang Hafiz.
            “ Hmm…Abang. Mira tak faham. Kenapa kehidupan kita lain daripada orang lain.”
            Abang Hafiz mengangkat kening sebelah kirinya sebaik mendengar kenyataan daripada adiknya. “ Lain? Apa yang lain?”
            “ Orang lain tak perlu ke sekolah yang jauh daripada keluarga. Orang lain tak dipaksa untuk belajar banyak-banyak. Orang lain sangat dimanjai oleh ibu bapa mereka…”
            “ Mira. Manja tak semestinya sayang. Mama dan papa sayang kepada kita. Sebab itu, mereka bawa kita ke jalan ini. Jalan yang menemukan kita kepada cahaya Al-Quran. Dunia ini sekejap saja. Akhirat jualah tempat yang kekal abadi. Jadi, bersusah-susahlah kita di dunia ini agar dapat kita bersenang-senang di syurga nanti. Ingat, pengorbanan itu penting dalam mujahadah kerana segalanya pahit dalam perjuangan. Tapi, penghujungnya nanti Mira akan temui kemanisan yang Mira harapkan…”
            Tekun Amira menghayati setiap bait kata Abang Hafiz. Hatinya masih berat untuk menerima semua itu. Abang Hafiz semakin dekat kepadanya. Tangan Amira diusapnya perlahan. Amira dapat rasakan bahawa Abang Hafiz begitu mendalami hatinya. Jauh di sudut hati Amira,  dia masih meraba-raba mencari butir-butir kecintaan dan keikhlasan dalam mengharungi perjuangan ini.
            “ Mira…Abang nak Mira tahu yang abang pun pernah lalui apa yang Mira lalui. Terpaksa tinggalkan zaman kanak-kanak. Berjauhan daripada keluarga. Susah juga untuk abang terima semua itu. Tapi, abang mulai sedar akan hikmahnya. Malah abang bersyukur kerana mama dan papa menuntun kita ke jalan ini…Adik…Ingat, Al-Quran itu mungkin kita lihat sebagai sebuah kitab semata-mata. Tapi, hakikatnya itu adalah Kalam Allah. Itulah yang akan menaikkan martabat kita. Itulah jua yang akan memberi syafaat kepada kita…Dengan itu juga, kita dapat membawa mama dan papa ke syurga Allah”
            Kata-kata Abang Hafiz kali ini membuatkan Amira terimbau kata-kata mama dan papa suatu masa dahulu. Kata-kata yang dahulunya sukar untuk dia tafsirkan maknanya. Kata-kata yang cukup halus …
            ‘Ingat, kita ni tiada apa-apa. Tapi, Al-Quran telah menjadikan kita sesuatu yang bernilai..
            Ya!!! Dia masih ingat kata-kata itu. Dia bergerak menuju ke laci meja solek. Laci itu dibukanya dengan cermat. Dapat dilihatnya sampul yang masih rapi tersimpan dalam laci tersebut. Amira mendapatkan sampul itu. Dengan perlahan, Amira membuka sampul tersebut. Menitis air matanya saat dilihatnya wang yang masih berada di dalam sampul itu. Inilah yang cuba dimaksudkan oleh mama, papa dan Abang Hafiz. Inilah nilai yang papa dan mama pernah katakan dahulu.
            “ Abang… Betul!!! Betul kata mama…papa…abang. Mira sepatutnya sedar lama dah. Ya Allah…kenapa selama ini aku buta untuk lihat semua ini? Aku tidak sedar yang Kau telah menaikkan darjatku di dunia. Ya, di dunia. Belum lagi di akhirat…Ya Allah…” juraian air mata mula membasahi pipi gadis itu. Air mata itulah yang menjadi saksi bahawa dia sudahpun menjumpai mutiara yang selama ini dicarinya. Mutiara keikhlasan…Mutiara kecintaan. Mutiara yang bakal menjadikan perjalanannya semakin bercahaya.
            Abang Hafiz tersenyum melihat adiknya. Dia mengangguk..
            " Menangislah. Abang tahu Mira nangis bukan sebab Mira lemah. Tapi, sebab Mira sudah menempuh jalan yang sangat panjang dan Mira kuat untuk itu..." Amira terus mendakap abangnya.
            “ Sekarang, Mira dah cukup matang untuk lalui semua ini. Teruskan perjuangan. Jangan patah balik kerana kita sudahpun menjejak ke garisan pemula. Berusahalah sehingga ke garisan penamat. Ingat, Allah sentiasa ada apatahlagi, Mira berada di jalan yang mendekatkan Mira denganNya. In Sya Allah, percaya kepadaNya dan bersangka baiklah kepadaNya…Ikhlaskan diri dalam perjuangan ini. Apabila manusia mula lakukan sesuatu bukan kerana Allah, maka bersiap sedialah untuk kecewa,”
            Sejak hari itu, Amira teruskan perjuangannya di negeri utara itu untuk menuntut ilmu bersama mutiara keikhlasan yang telah ditemuinya. Di sini, dia kuatkan lagi hafazan yang selama ini dihafaznya tanpa mengenal erti ikhlas. Banyak lagi ilmu baru yang dia terokai. Baru dia sedar, betapa bahagianya melakukan sesuatu apabila mutiara keikhlasan menemaninya. Amira mulai merasai ketenangan dan kemudahan dalam menuntut ilmu. Dia berpegang kepada kata orang tua-tua..Ikut resmi padi. Makin berisi makin tunduk. Sesungguhnya, walaupun seluas lautan sekalipun ilmu kita tuntut, hakikatnya kehidupan kita di dunia ini hanyalah sebagai Hamba Allah.

**********

“ Mira..bangun. Mira…Tahajjud,” Hana menggerakkan Amira yang masih lena diulit mimpi. Badannya mulai menggeliat.
            “ Aaahhhmmm. Dah jam 4.30 pagi. Hmm… Terima kasih, Hana. Kalau Hana nak ke surau dulu, pergilah. Aku nak mandi dululah. Segar sikit,” kata Amira dalam keadaan mata separuh celik.
            “ Eh, tak apa. Aku tunggu kau. Nanti, kita pergi sama-sama,” ujar Hana.
           
            Stoking yang terlipat rapi di bawah katilnya, diambil oleh Amira. Sedang Amira menyarungkan stoking itu, Amira membuka bicara.
            “ Mira...aku dengar Ustaz Don Danial akan jadi imam Tahajjud kita malam ini. Tazkirah pagi pun Ustaz Don sampaikan. Tak sabarnya...” ujar Hana dengan teruja.
            Senang hati Amira mendengarkannya.
            “ Oh, ya? Harapnya lebih baik lah ya. Jangan nanti ada aspuri yang lari masuk asrama sudahlah...”
            “ Harapnya, taklah...”
            Lalu, mereka memulakan langkah menuju ke musolla. Setiap kali melalui bilik yang masih gelap, Amira dan Hana akan mengetuk tingkap dan pintu sehinggalah terbuka lampu. Itulah rutin kedua-dua sahabat itu yang merupakan mantan Lajnah Aspuri.

            Suasana saat itu terasa sungguh syahdu. Kegelapan yang memenuhi suasana surau tersebut menambahkan lagi semangat tahajjud dalam diri para jemaah. Masing-masing yang sujud pada pagi itu sedar bahawa itu adalah pagi terakhir mereka bersama dengan kakak-kakak sebelum mereka pulang untuk bercuti.
Setiap sujud yang mereka rebahkan pada pagi yang hening itu ditemani sinar cahaya bintang purnama yang bertaburan di langit. Melihatnya, terasa tenang. Amira teringat dalil Allah SWT dalam Surah Yunus ayat 101 :
            Katakanlah (wahai Muhammad): Perhatikan dan fikirkanlah apa yang ada di langit dan di bumi dari segala kejadian yang menakjubkan, yang membuktikan keesaan Allah dan kekuasaanNya.’
            “ Masya-Allah..” itulah kata-kata yang indah yang terucap dek melihat keindahan ciptaan Allah SWT ini.
           
            Sebak hatinya  pada pagi yang syahdu itu. Amira merasakan bahawa dalam sujud itu hanya dirinya dan Sang Pencipta di pagi yang sunyi itu. Diluahkannya segala yang terpendam di sudut hatinya kepada Dia dalam sujudnya. Tahajjudnya pada malam itu dapat dirasakannya kelaianan. Sayup, sunyi dan syahdu. Sungguh tidak terungkap perasaan itu. Walau bagaimanapun, itulah perasaan yang paling indah dan saat paling tenang.
            Sungguh Qiamullail itu adalah terapi yang terbaik untuk hati. Saat manusia diulit mimpi nan indah, seorang hamba Allah itu bangun menyahut seruan Pencinta yang satu. Kerana hamba Allah  itu yakin akan nikmat bangun di sepertiga malam. Ketahuilah, saat itu seorang hamba Allah itu berada sungguh dekat dengan PenciptaNya.Rasulullah SAW bersabda:
Pada setiap malam, Allah Azzawajalla turun ke langit dunia ketika berbaki sepertiga malam yang akhir. Maka Allah berfirman: “Sesiapa yang berdoa kepada-Ku, pasti akan Kukabulkan, dan siapa yang memohon kepada-Ku, pasti akan Kuberi, dan siapa yang mohon ampun kepada-Ku pasti akan Kuampuninya.
 (H.R. Malik, Bukhari, Muslim, Tirmidzi, dan yang lainnya).
           
            Usai Solat Subuh, tirai yang menjadi pemisah antara jemaah muslimah dan muslimin dibuka. Memberi ruang kepada sesi Tazkirah Pagi. Baru Amira teringat akan kata-kata Hana sebelum ini.
            “ Oh ya! Ustaz Don! Tapi, aku tak nampak pun. Lagipun, aku langsung tak sedar suara yang mengimami qiam tadi. Yang pasti, suara itu cukup tepat lagi mendamaikan...” gumam hati Amira.
            Amira ternanti-nanti untuk melihat gerangan yang bakal menyampaikan tazkirah pagi itu. Bicara hatinya kuat mengatakan bahawa gerangan itu bukanlah Ustaz Don seperti yang diuar-uarkan kepadanya.
            Seorang jejaka berjubah putih segak berserban menonjolkan diri. Langkahnya diatur menuju ke medan menyampaikan tazkirah. Amira tergamam sendiri melihat kelibat jejaka itu. Sungguh dia tidak menyangka bahawa jejaka yang mengimamkan qiamullail dengan cukup indah tadi ialah insan bernama Furqan. Jejaka itu pernah menjadi mutiara yang bertakhta di ruangan hatinya. Kerana ikhtilat, dibenamkannya mutiara itu sedalam-dalam lautan nurani.
            Melihat sekeliling, Amira mulai perasan, bukan dirinya sahaja yang memendam perasaan terhadap jejaka itu, bahkan jemaah perempuan yang lain juga begitu.
            “ Astaghfirullah hal Azim...Apa yang aku fikirkan ni?” gumam Amira. Dia berkeras dengan dirinya agar jauh daripada bisikian syaitan yang mensia-siakan. Dengan perlahan, Amira bangun. Dia menuju ke kamar wudhu untuk membasuh wajahnya dan memperbaharui wudhuknya.

           
 “ Assalamualaikum warahmatullahhi wabarakatu...
            Alhamdulillah, kita baru sahaja selesai mengerjakan qiamullail. Seperti yang kita ketahui, adik-adik tingkatan satu hingga tingkatan 4 akan pulang pada hari esok. Manakala, pelajar tingkatan 5 akan teruskan pengajian di sini sebagai persiapan menghadapi SPM hujung tahun ini, In Sya Allah. Manakala, saya berserta rakan-rakan yang bakal menduduki STAM minggu hadapan akan terus berada di sini. Semestinya, detik ini mungkin akan menjadi detik terakhir kami, calon STAM akan berjemaah dengan adik-adik sekalian. Kami hanya memohon doa daripada adik-adik agar peperiksaan yang bakal dihadapi ini dipermudahkan olehNya, Rabbul Izzati.
            Jadi, Ustaz Jamal mengamanahkan saya untuk mengimami qiamullail kita tadi dan menyampaikan tazkirah. In Sya Allah, saya akan laksanakan dengan baik. Ya ustaz,” kata Furqan sambil menoleh ke arah Ustaz Jamal di sisi surau.
            Suasana surau ketika itu sangat sunyi. Masing-masing tidak sabar mendengar tazkirah yang bakal disampaikan oleh Furqan. Bekas Ketua Pelajar itu sangat petah apabila berbicara. Lantangnya suara apabila berhujah itu yang menyingkirkan perasaan mengantuk dari diri setiap insan yang mendengar.
            Amira yang baru keluar dari kamar wudhu, terus duduk di saf belakang sekali. Niatnya diperbetul. Jaga mata, jaga hati, jaga iman. Itulah madah yang menjadi pegangan Amira.
           
            “ Di hadapan saya saat ini, adalah insan yang sudah menjangkau usia 13, 14, 15, 16, 17 dan 18 tahun. Hebat tak kita ni? Selama itu kita berjaya menghadapi kehidupan. Kenapa saya berkata demikian? Kerana hidup ini tidak dicipta untuk kesenangan tetapi hidup dicipta untuk kesusahan. Rasulullah SAW sendiri pernah kata: Dunia adalah penjara bagi orang mukmin. Sampai begitu Rasulullah nak gambarkan kehidupan di dunia ini bukannya kebahagiaan untuk kita. Tapi, antum, antunna sekalian di hadapan saya hari ini telah berjaya melalui lebih sedekad kehidupan di dunia
            Ingat, langit itu tidak selalunya cerah. Akan datang kepada kita suatu detik di mana kita rasa bagai tidak mampu untuk meneruskan perjuangan ini. Ketahuilah itu adalah bisikan syaitan.  Sampaikan bisikan itu mampu untuk menarik kita ke dalam jurang kegagalan.
            Jangan mengalah!!! Ustaz Jamal pernah berucap di perhimpunan, ‘Kita orang Islam, kita kena kuat. Kenapa hati orang Islam kena KUAT. Kerana orang Islam ada Allah. Kerana orang Islam percaya pada Allah. Kerana orang Islam hanya bergantung harap kepada  Allah. Kerana orang Islam sentiasa yakin pada Allah dan bila hati ada Allah, yakin, percaya dan bergantung kepada Dia, yang memiliki dan menentukan segala-galanya. Bagaimana mungkin, hati orang Islam begitu rapuh dan lemah?’
            Cuba kita fikir balik. Kita sudah meredah onak duri yang cukup banyak sebelum ini. Perjalanan kita sudah terlalu jauh. Takkan kita nak berpatah balik. Rugi!!! Antum, antunna sekalian. Nak dibandingkan ujian yang kita hadapi berbanding ujian para nabi dan rasul. Mereka memikul ujian yang jauh lebih berat. Sangat berat. Sedangkan, mereka juga manusia seperti kita. Yang bezanya adalah tahap iman dalam diri kita. Lihat, betapa tabahnya Nabi kita sendiri, Muhammad SAW mengajak kaum Arab Quraisy ketika itu untuk memeluk Islam. Walau, dirinya dilempar batu-batuan, darah berlumuran seluruh tubuh, tiada ibu dan ayah dalam perjuangannya, Nabi kita tetap kuat menggalas amanah Allah SWT.
            Betul. Terkadang, Rasulullah sendiri berasa lemah kerana baginda juga manusia seperti kita. Lalu, Allah turunkan ayat sebagai pengubat kepada jiwanya yang menderita.  Dalam Surah Al-Muzammil, Allah memberikan ubat yang terbaik kepada jiwa yang bersedih. Mari sama-sama renungkan ayat ini
Surah al-Muzammil- ayat 1.
          ‘Wahai orang yang berselimut
           Ayat ini turun untuk memujuk hati Rasulullah. Allah sambung lagi pada ayat kedua
          ‘Bangunlah sembahyang pada waktu malam, selain dari sedikit masa (yang tak dapat tidak untuk berehat)
          Lihatlah. Sembahyang pada waktu malam merupakan kunci kepada kekuatan dan ketenangan. Cuba kita fikirkan, kalau kita bersedih dan rasa frust, siapa yang pertama kita mengadu masalah kita? Siapa ? Pasti kita lebih gemar menceritakan kepada rakan-rakan yang sebenarnya belum pasti cerita kita selamat di tangannya.
         Antum, antunna sekalian. Sekarang masanya untuk kita ubah persepsi kita. Jadikan Allah yang utama dalam apa jua keadaan. Cari masa untuk kita berdua-duaan dengan Allah. Malam!!! Itu adalah waktu terbaik.
         Malam ini boleh dikira sebagai waktu special untuk kita bercinta dengan Allah. Sepi dan sunyi. Sedangkan percintaan antara insan juga memerlukan kesepian dan kesunyian apatahlagi bercinta dengan sang Pencipta.
       Cuba kita bayangkan di saat kita dihina, dicerca dan dijatuhkan semangat. Datang seseorang yang mengatakan...
       ‘Bertenanglah. Biar aku yang uruskan mereka’
        Pasti kita rasa seperti hilang satu beban dari diri kita. Begitulah Allah memujuk jiwa Rasulullah SAW. Allah telah berfirman :
        ‘Dan biarkanlah Aku sahaja memabalas orang-orang yang mendustakan, iaitu orang-orang yang dalam kemewahan dan berilah mereka penangguhan sebentar
         Nampak tak bagaimana Allah memujuk jiwa Rasulullah untuk kembali bersemangat. Subhanallah. Perkara yang sama Allah sampaikan kepada kita yang sedang menjalankan amanah. Sama-sama kita jadikan ayat Allah itu tadi sebagai penguat semangat untuk kita terus melaksanakan amanah sebagai anak, pelajar, hamba Allah dan khalifah di muka bumi ini,”
         Panjang lebar tazkirah yang disampaikan oleh Furqan. Suaranya yang cukup lantang ditambah  dengan dalil sebagai penguat menjadi tazkirah yang disampaikan oleh Furqan sangat mantap.

**********

            Tittt...Titt...Titt
            Telefon bimbit Amira berbunyi menandakan mesej masuk. Butang buka lalu ditekannya.
            “ Assalamualaikum WBT, Amira
            Ini Ustazah Syiqqin. Petang ni ustazah tak dapat hadir halaqoh. Ustazah minta maaf sebab tak beritahu awal-awal. Ustazah harap halaqoh tidak dibatalkan. Kalau boleh, Amira ganti ustazah sebagai naqibah, boleh? Ustazah sangat berharap agar halaqoh berjalan seperti biasa. Minta maaf sekali lagi.
            Wassalam.”
            Tergamam seketika Amira dibuatnya. Tinggal sejam sebelum halaqoh bermula. Lebih menggundahkan Amira, dia langsung tidak melakukan sebarang persediaan.
            “ Ya Allah... Apa aku nak buat ni? Topik apa yang nak dibincangkan? Hmm...” getus hati Amira.
            Tanpa membuang masa, dia segera mendapatkan majalah-majalah ilmiah yang tersusun di rak bukunya. Amira berusaha dengan sebaik mungkin agar halaqoh dapat terus berjalan seperti yang diharapkan oleh Ustazah Syiqqin.  Walaupun, kebanyakan pelajar sudah pulang, Amira tetap yakin bahawa masih ada insan yang bakal menghiasi halaqoh pada hari ini. Sememangnya, Amira tidak mahu mengecewakan insan-insan yang bertamu dalam bulatan usrah itu.


  “ Assalamualaikum warahmatullah. Alhamdulillah, buat kesekian kalinya Allah mengizinkan kita berkumpul dalam rumah-Nya ini untuk bersama-sama refresh balik iman kita yang sekejap turun sekejap naik ni. Kita mulakan dengan ummul Kitab, Al-Fatihah,” seperti yang diamanahkan, Amira mengetuai halaqoh pada petang itu.
            Bulatan halaqoh pada petang itu tidaklah sebesar seperti selalu, tetapi 9 insan yang bersimpuh di situ cukup bermakna untuk melaksanakan halaqoh.
            “ Pasti antunna sekalian tertanya-tanya tentang Ustazah Syiqqin, betul? Hmm, ustazah tak dapat hadir bersama kita hari ini. Jadi, ustazah titipkan amanah kepada ana untuk menjalankan halaqoh seperti biasa. In Sya Allah, boleh kita teruskan,” ujar Amira bersama sulaman senyuman.
            “ Boleh!!!” ahli usrah menjawab dengan serentak dengan sungguh bersemangat.
            “ Baiklah, mari sama-sama kita tadabbur ayat Al-Quran. Surah Al-Mujadilah ayat 7. Ana akan mulakan dahulu. 2 ayat seorang, ye?” ujar Amira. Buku catatan di tangannya diletakkan di lantai. Al-Quran Kareem itu mula diselak halamannya ke muka surat 543.
            Masing-masing bersedia dengan halaman 543. Menunggu giliran masing-masing untuk diperdengarkan bacaan. Konsep tadarus diamalkan di mana, ada yang membaca dan ada yang mendengar. Ini adalah antara konsep yang diterapkan dalam  bulatan halaqoh.

            “ Alhamdulillah...Selesai kita tadarus Surah Al-Mujadilah sebentar tadi. Nabilah, tolong bacakan tafseer bagi surah yang sama, ayat 11,” kata Amira.
            Nabilah mengangguk. Ditelitinya makna ayat 11 tersebut lalu dibacakannya dengan lantang.
            “ Surah Al-Mujadilah, ayat 11. Allah bersabda:
            Wahai orang yang beriman! Apabila dikatakan kepadamu: “Berilah kelapangan di majlis-majlis,” maka lapangkanlah, nescaya Allah akan memberi kelapangan untukmu. Dan apabila dikatakan : “ Berdirilah kamu,” maka berdirilah, nescaya Allah akan mengangkat (darjat) orang yang beriman di antara kamu dan orang yang diberi ilmu beberapa darjat. Dan Allah Maha Teliti akan apa yang kamu kerjakan.”
            Masing-masing turut meneliti tafsir tersebut pada kitab tafsir mereka.
            “ Ana yakin, kita semua dah terbiasa mendengar ayat ini kan? Tapi, kita ni manusia. Asal perkataan manusia itu sendiri daripada perkataan Arab yakni nasiya. Nasiya ni maksudnya lupa. Jadi, memang dah teranglah manusia ni memang sifatnya lupa. Kita hidup berkomuniti. Jadi, perlu ada yang saling memperingati dan menasihati.  Ada sesiapa nak nyatakan pendapatnya berdasarkan ayat Allah yang dibacakan oleh Nabilah tadi?” ujar Amira.
            Syafiqah, pelajar yang turut mengambil STAM di situ mengangkat tangan. Dia mempunyai fikrah yang ingin dilontarkan.
            “ Bismillahhirrahmanirrahim. Jadi, seperti yang antunna semua tahu. Esok akan bermula ujian bertulis bagi peperiksaan STAM. Saat ini mereka yang bakal menduduki ujian tersebut pasti sedang berusaha di aspuri. Tapi, masih ada yang hadir halaqoh walaupun tak ramai. Kerana ayat Allah itulah yang mendorong kakak-kakak ini untuk hadir ke halaqoh. Dalam ayat tadi, Allah menjanjikan kelapangan buat mereka yang hadir ke majlis ilmu. Kelapangan ini tidak semua orang boleh dapat. Mereka yang berada di asrama belum tentu dapat menelaah dengan baik. Mungkin fikiran mereka melayang entah ke mana. Tapi, mereka yang melapangkan masa dengan majlis seperti ini In Sya Allah, Allah lapangkan masanya. Bagaimana? Walaupun di saat yang genting seperti saat ini, Allah akan mudahkan kita untuk belajar,” jelas Syafiqah.
            “ Betul. Ana setuju. Tapi, ada segelintir manusia yang jauh daripada Allah. Ibadah yang wajib ke atasnya tidak dilaksanakan. Apatahlagi, menghadiri majlis ilmu sebegini. Memang tidaklah. Tapi, Allah masih lagi memberi kejayaan kepada mereka. Itu yang ana masih tak faham. Walhal, ada kelompok manusia yang sangat taat kepadaNya, tapi gagal dalam peperiksaan,” Afifah mencelah.
            “ Hmm...Itu istidraj namanya. Betul memang ada manusia yang Allah limpahkan rezeki melimpah ruah kepadanya walaupun, manusia itu jauh daripada Allah. Tapi, mereka tidak sedar yang Allah memberi rezeki itu dalam keadaan murka kepada mereka. Yang lebih menakutkan, mereka terus tenggelam dengan kenikmatan dunia tanpa langsung tidak menyedari kemurkaan Allah. Ini lagi bahaya. Kita patut berdoa agar jauh daripada istidraj ini.
            Kelompok manusia yang sentiasa beribadah kepada Allah, taat kepadaNya tapi masih gagal dalam peperiksaan. Janganlah berputus asa. Sebab, itu adalah ujian daripada Allah. Allah menguji sejauh mana keimanan mereka kepadaNya dengan kegagalan. Tapi, ingat Allah akan memeberikan sesuatu yang jauh lebih baik daripada kejayaan setelah mereka berjaya lalui ujian tersebut dengan sabar dan reda,” jelas Amira.

            Suasana usrah hari itu sangat rancak. Respon daripada ahli usrah sangat baik. Lega hati Amira melihat perbincangan dua hala yang berlaku. Sekurang-kurangnya, amanah yang diberikan oleh Ustazah Syiqqin kepadanya dilaksanakan dengan baik. 



BERSAMBUNG...
* Maafkan salah dan silap yang terdapat dalam karya ini. 
Buang yang keruh, ambil yang jernih. In Shaa Allah.


Assalamualaikum