
NOVEL ISLAMI
NOR AISHAH BT NORRIFIN
BAB 21: Doktor Furqan
Setelah surat panggilan untuk bekerja keluar, Furqan mula
sibuk dengan urusan luar. Dia harus menjalani imtihan. Kemudian, mendapatkan
surat sokongan pengajian beserta credit
hour, transkrip peperiksaan dan surat pengesahan tamat pengajian daripada
pihak universiti. Furqan juga perlu melapor diri di pihak tertentu, dan
mendapatkan sijil. Dengan adanya sijil tersebut bermulalah gelaran pelatih
pegawai perubatan berjawatan UD41.
Setelah
melalui bidang praktikal, akhirnya Furqan baru merasai dunia kedoktoran yang
sebenar. Barulah dia berhadapan dengan pesakit dengan sendiri berbekalkan ilmu
di dada. Saat itu, dia mula merasakan bahawa
"ini adalah amanah daripada Allah yang aku harus jaga dengan baik".
Setiap pesakit itu menaruh harapan yang
tinggi terhadap insan yang bergelar doktor ini selain meletakkan sepenuh
kepercayaan kepada kuasa Dia yang mencipta, Allah Maha Kuasa.
"
Tahniah, abang. Usaha abang membuahkan hasil. Sekarang, cita-cita abang menjadi
kenyataan. Semoga abang dapat pikul amanah sebagai doktor dengan baik." ujarku
tatkala mengenakan tali leher pada pakaiannya..
" Abang belajar medic
bukan untuk kejar harta atau pangkat.
Abang nak bantu orang lain yang dalam susah. Biarlah ganjaran tak seberapa,
asalkan apa yang abang nak lakukan Itu tercapai sebelum abang meninggal,"
kata Furqan.
"
Bagus Doktor Furqan…" ungkap Amira dengan usikan mesra. Senyuman di
wajahnya mula terukir. Sungguh manis wajah itu. Kemanisan pada wajahnya itulah
yang selalu menghiasi pagi Amira.
"
Abang teringat pesan arwah mak … Dunia ini hanya persinggahan. Nikmat di dunia
yang kita lihat hari ini cuma fatamorgana semata-mata. Cantik di mata tetapi
hakikatnya tidak bernilai langsung di mata Allah SWT. Jadi, kita kena cari
sesuatu yang dapat menjadi bekalan kita di akhirat. Abang rasakan, menjadi
doktor ini In Sya Allah dapat membantu abang mendapatkan pahala, Minat pun dah
ada, jadi abang teruskan sampailah ke peringkat ini. Alhamdulillah, niat abang
tercapai,"
" Subhanallah..
Hebat. Fikrah suamiku ini sungguh hebat. Semoga Allah permudahkan urusan abang.
Mira akan sentiasa doakan abang yang terbaik… In Sya Allah, abang boleh. Allah
sentiasa bersama dengan abang,"
bisik hati Amira.
Tersenyum
si isteri melihat suaminya yang sudahpun bersiap untuk berjuang di medan
pekerjaan.
Rasulullah SAW pernah bersabda:
“Sebaik-baik
manusia adalah yang paling bermanfaat bagi orang lain” (HR. Ahmad,
Thabrani, Daruqutni)
Sabda baginda yang cukup mulia itulah yang menjadi antara
dorongan Furqan bertahan dalam dunia perubatan semasa di Mesir. Ranjau yang
sentiasa menerpanya dianggap sebagai cabaran bukan halangan.
Tangan Amira tanpa sedar berada dalam sentuhan erat jari
jemari Furqan. Genggaman itu membuatkan Amira kuat untuk terus menanti saat
kelahiran insan bergelar cahaya mata ini.
************
Pada
suatu petang yang hening, Amira berada di halaman rumah banglo milik papa dan
mama sambil menghirup udara petang. Petang itu, dia sendiri tanpa ditemani
Furqan. Kebiasaannya, petang sebegini mereka akan meluangkan masa bersama di
ruang tamu sambil berkongsi cerita masing-masing. Tetapi, hari ini Amira sedar
bahawa dia perlu menerima hakikat waktu
petang tanpa insan bernama Furqan. Bukan untuk hari ini sahaja, malah untuk
hari-hari yang mendatang.
Setelah
mendapat izin daripada Furqan, Amira pun pergi ke rumah papa dan mama.
Sekurang-kurangnya, Amira ada peneman di sana. Indah saja pemandangan di
halaman rumah papa. Luas, menghijau, kicauan burung di sana sini. Sungguh
mendamaikan hatinya yang bakal menerima kunjungan naluri keibuan.
“ Nyamannya udara
di sini. Kalau di Mesir, sekejap sejuk, sekejap panas. Keadaan tak menentu.
Suasana sesak dengan kerenah manusia yang sentiasa sibuk… Alhamdulillah,
Malaysia aman sentosa,” kata hati Amira sendiri sambil berjalan-jalan
sekitar halaman rumah yang luas.
Sedang dia berjalan, terlihat Kak Lisa yang duduk
termenung di gazebo, sebelah penjuru kanan halaman rumah.
" Hmm… Kenapa
dengan Kak Lisa ni. Mana Abang Hafiz? Macam ada masalah je…" bisik
hati Amira.
Dengan
berhati-hati, Amira mengatur langkah mendekati Kak Lisa.
“ Assalamualaikum,
kak,”
“ Waalaikumsalam. Mira, Hmm…Furqan mana?” Kak Lisa
bagaikan terbangun dari lamunannya apabila Amira menyapa. Lamunannya terlalu jauh
melayang sehinggakan dia lupa bahawa Amira bertandang ke rumah papa sendirian.
“Oh, Furqan…Dia dah mula kerja. Kak lupa ya?”
Kak Lisa segera menepuk dahinya sendiri. Kepalanya turut
digelengnya dek kecuaian dirinya yang terlupa akan ketiadaan Furqan bersama
Amira. Nafas Kak Lisa dihembusnya perlahan. Amira hanya memerhati Kak Lisa dari
tepi.
“ Kak Lisa, kenapa termenung sendiri? Macam memikirkan
masa depan je, kak. Kalau perlu untuk diceritakan, ceritalah dengan Mira. Mira
perempuan macam akak, Mira juga seorang isteri macam akak dan Mira juga bakal
menjadi seorang ibu macam akak. Mira akan dengar apa sahaja luahan hati akak,”
kata Amira kepada Kak Lisa.
Kak Lisa kembali termenung seperti tadi. Dia membisu
seketika…
“ Kita beza, jauh
berbeza. Akak dah ada 3 anak. Pertama, Umar Asyraf. Kedua, Nadia Humairra.
Ketiga, Khalisy Zubair. Pada mulanya, akak rasa kuat lagi. Sekarang, akak rasa
lemah. Malah, kadang tu, akak rasa akak dah gagal mendidik anak-anak,” Kak Lisa
mula menceritakan perihal dirinya kepada Amira.
Khusyuk Amira mendengar ujaran daripada Kak Lisa.
“ Akak cakap tentang Asyraf ke? “ tanya Amira kepada Kak
Lisa.
“ Betul. Asyraf itu, dah 7 tahun. Macam-macam masalah dia
timbulkan. Baru-baru ini, dia tolak seorang budak perempuan sampai trauma budak
itu dibuatnya. Akak rasa bersalah sangat. Akak dengan Abang Hafiz bukannya tak
ajar dia agama. Akak selalu tegur, bagi nasihat. Dia? Dia buat tak endah je.
Akak tak faham, kenapa jadi macam ni? Salah ke, apa yang Kak Lisa dengan Abang
Hafiz didik dia selama ni? Abang Hafiz itu sabar je dengan perangai dia. Akak
tak boleh tengok anak-anak akak macam itu. Apa akan jadi dengan masa depan dia?”
kata Kak Lisa. Amira dapat lihat bagaiamana riak wajah seorang ibu yang
mengenang kisah anak-anaknya. Mata Kak Lisa kelihatan mula bergenang air mata.
“ Akak, saya baru nak ada anak. Itupun, belum tentu
keluar ke tidak.. Saya tak dapat nak katakan apa-apa tentang Asyraf. Tapi, saya
ingat kisah Sultan Muhammad al-Fateh. Akak tahu kan kisah Sultan Muhammad al-Fateh?
Beliau seorang yang hebat, berkarisma
dan berjaya. Sehinggakan Nabi kita sendiri pernah sebut tentang beliau dalam
hadis yang berbunyi, “Konstantinopel
akan jatuh ke tangan tentera Islam. Rajanya adalah sebaik-baik raja, tenteranya
adalah sebaik-baik tentera dan rakyatnya adalah sebaik-baik rakyat."
Hadis riwayat Imam Ahmad. Tapi, akak percaya tak dia juga pernah lalui zaman kanak-kanak
yang nakal. Sultan Murad, ayahanda beliau inginkan puteranya itu diberi ilmu
agama, ilmu peperangan supaya dapat meneruskan perjuangan baginda menakluk
Konstantinopel. Tapi, Sultan Muhammad masih kecil ketika itu, kehendaknya
hanyalah main, main dan main. Sudah ramai ulama dihantar untuk mengajar beliau,
tetapi tidak diendahnya. Beliau sangat degil ketika itu. Sehinggakan
didatangkan kepadanya seorang ulama’ yang tegas dan diberi kuasa kepada ulama
itu untuk memukul Sultan Muhammad sekiranya masih berdegil. Sultan Muhammad
akhirnya akur dengan kehendak ayahandanya iaitu mempelajari ilmu agama dan
peperangan setelah dia dimalukan di hadapan rakan-rakannya dengan peristiwa dia
dipukul oleh ulama’ yang bernama Syeikh al-Kurani,” panjang lebar Amira menceritakan
kepada Kak Lisa kisah Sultan Muhammad al-Fateh. Kak Lisa tekun mendengar lagi
menghayati kisah yang disampaikan oleh Amira.
Amira sambung lagi perbualan dengan kak Lisa.
“ Akak, tengoklah Sultan Muhammad sendiri pernah nakal
semasa zaman kanak-kanak sehingga dipukul. Cara akak dengan abang didik
anak-anak tak salah tapi, mungkin perlu ditingkatkan lagi. Mereka masih kecil,
biarkan mereka rasai zaman kanak-kanak. Tapi, kalau melampaui batas, akak
dengan abang mungkin perlu lebih tegas. Doa!!! Tak cukup kalau didik saja. Doa
pun penting. Doa seorang ibu mustajab. Berdoalah, Allah berfirman, “Berdoalah kepadaku nesacaya, aku
perkenankan,”. In Sya Allah, Allah perkenankan sama ada cepat atau lambat.
Itu urusan Allah,” kata Amira kepada Kak Lisa.
“ Kak takut Mira. Akak takut kalau Asyraf membesar
menjadi....” ujar Kak Lisa. Air matanya sedikit demi sedikit menitis membasahi
pipi.
“ Shhh...” Amira menghentikan kata-kata Kak Lisa. Amira
tidak mahu Kak Lisa berfikiran bukan-bukan.
“ Kak...Pernah tak akak terfikir. Kenapa Allah nak bagi
akak ujian begini. Kenapa Asyraf? Hmm?” ujar Amira. Dia cuba untuk memberi
ruang kepada Kak Lisa untuk berfikir.
Kak Lisa menggeleng dengan perlahan.
“ Akak kena kuat. Allah jadikan Asyraf sebagai ujian kepada Kak Lisa. Sedar tak, akak sedang
menangisinya. Sekiranya akak mendoakan kebaikan, In Sya Allah, Allah akan
angkat doa akak. Doa ibu kepada anaknya adalah mustajab apatahlagi, akak berdoa
bersama iringan air mata disulam harapan agar Asyraf menjadi insan yang
soleh. Jangan fikir yang bukan-bukan.
Doa yang baik-baik, kak,” ujar Amira.
Kak Lisa terdiam seketika. Fikirannya masih memikirkan
kata-kata Amira.
“Hmm...Betul. Apa yang Mira cakap tu semua betul.
Kenapalah akak tak pernah terfikir apa yang Mira fikir? Akak harap akak dapat
jadi macam Mira,” Kak Lisa mula menunjukkan senyuman pada wajahnya. Air mata
yang tersisa di wajahnya disapu perlahan dengan jari jemarinya yang halus.
Amira terasa pelik dengan kata-kata Kak Lisa sebentar
tadi. Hmm…
" Hhh.. Apa maksud kak? Nak jadi macam Mira? "
soal Amira.
" Mira seorang yang tinggi motivasi. Banyak ilmu.
Anak Mira nanti mesti terdidik dengan baik…"
“ Tak ada apa-apa sangat ah, akak. Mira masih belum rasa
apa yang akak rasa. Mulut hanya boleh mengungkap, hati jua yang melalui
jerihnya. Akak dah jadi ibu, jadi akak dah memiliki hati seorang ibu. Akak,
kuatkan semangat tau. Mira tengok muka akak tadi, tak bersemangat rasanya.
Kalau akak ceria, semua orang akan ceria. Akak kena kuat demi anak-anak akak
dan suami akak sendiri. Bayangkan kalau mereka tahu yang akak sedih, dia orang
mesti tak tenang. Mungkin ini semua ujian untuk akak. Allah ada variasi ujian
terhadap hambaNya. Akak mungkin dapat ujian melalui anak-anak. Allah uji
hambaNya kerana sayang. Akak kena sentiasa fikir yang positif terhadap Allah.
Allah berfirman dalam Surah al-Baqarah ayat 286, “Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya.
Ia mendapat pahala (dari kebajikan) yang diusahakannya dan ia mendapat seksa
(dari kejahatan) yang dikerjakannya." Cuba akak fikirkan balik
ayat-ayat cinta Allah kepada kita. Itu janji Allah. Kita berpegang pada janji
itu, In Sya Allah, kita akan berasa kuat menjalani ujian dariNya,” kata Amira
lagi lalu memeluk bahu Kak Lisa.
Kak Lisa tersenyum bahagia. Dalam hatinya, menahan sebak
yang membuak-buak. Sungguh dia tidak menyangka, detik bersama Amira itu telah
menemukannya dengan mutiara kekuatan.
“ Allah mungkin
sedang memujuk jiwaku,” bisik hati Kak Lisa.
“ Akak tak tahu nak cakap apa. Alhamdulillah, akak rasa
kuat sekarang. Terima kasih, Mira sudi luang masa dengan akak, borak dengan
akak dan kongsikan ilmu. Patutlah Abang Hafiz selalu cerita tentang Mira yang
Mira ini selalu bagi motivasi dekat dia. Sekarang akak sendiri rasa apa yang
Abang Hafiz selalu rasa dulu. Akak beruntung sebab dapat adik menakan macam
Mira,” air mata yang membasahi pipi Kak Lisa mula disapunya. Kelihatan senyuman
yang indah mula menghiasi wajah Kak Lisa.
“ Kita kan keluarga. Kalau akak dalam susah wajar untuk
Mira tolong akak. Abang Hafiz mesti banyak mengutuk Mirakan? " ujar Amira.
" Eh, mana ada! Abang Hafiz selalu cerita telatah
Mira. Kadang-kadang, akak pun rasa cemburu," kata Kak Lisa.
"Hah, tak perlu nak cemburulah, kak. Abang Hafiz tu
kan menjadi milik akak sekarang. Jaga dia dengan baik. Mira yakin abang sayang
akak lebih daripada sayang Mira. Akak kena percaya tu!!!"
Amira tahu bahawa Kak Lisa kuat menjalani ujian daripada
Allah ini kerana hakikat seorang wanita ialah tabah dan kuat. Biarpun secara
fiziknya, wanita itu dipandang lemah. Namun, jauh di sudut hatinya tersimpan
satu kekuatan yang luar biasa dalam diri insan bergelar hawa. Kekuatan itulah
yang mengukir senyuman walau terluka. Kekuatan itulah yang membahagiakan walau
dikecewakan. Subhanallah.
*************
Furqan
di tempat kerjanya…
"
Encik, bagaimana rasanya hari ini? " Furqan mula menyapa seorang pesakit
yang dikenakan 50 jahitan akibat kemalangan motor di kawasan kampung kecil.
"
Alhamdulillah…Semakin pulih. Tapi, kadang-kadang rasa mengilu di tempat
jahitan. Masih basah lagi kot?" ujar pesakit tersebut.
"
Oh, encik jangan bergerak banyak. Kita takut nanti, jahitan itu terbuka. In Sya
Allah, nanti setelah sembuh sebetulnya, kita buka benang itu semula. Berehat
secukupnya," ujar Furqan.
Furqan
tidak menjadikan kerjayanya sekadar merawat pesakit, malah kerjayanya sebagai
doktor dijadikan sebagai medium untuknya berdakwah. Segala ilmu yang dia
perolehi di Mesir, dikongsinya bersama dengan rakan sejawat dengannya serta
para pesakit bawah tanggungannya. Baginya, inilah masa yang sesuai untuk
menyebarkan apa yang dia peroleh sepanjang keberadaannya di Mesir.
Pertama
kali, Furqan melalui on-call, dia mulai sedar bahawa dirinya kini bukan sekadar
milik isterinya, Amira. Malah, sebahagian besar dirinya adalah milik
masyarakat.
BERSAMBUNG...
* Maafkan salah dan silap yang terdapat dalam karya ini.
Buang yang keruh, ambil yang jernih. In Shaa Allah.
Assalamualaikum
No comments:
Post a Comment